'Kami minta maaf, ia tidak sepatutnya berlaku' - Astro


KUALA LUMPUR - Susulan kenyataan seorang wanita yang mendakwa syarikat televisyen swasta, Astro, memberi layanan diskriminasi terhadap pengguna berbangsa India dan warga asing, pihak Astro tampil memohon maaf. 

Dalam kenyataan Madhavi Rai sebelum ini, permohonan beliau untuk melanggan Astro telah ditolak hanya kerana beliau tidak memilih pembayaran secara auto debit. Menurut pegawai khidmat pelanggan syarikat itu berkata, Madhavi hanya diberikan pilihan untuk membayar bil bulanan secara auto debit kerana dia berbangsa 'India'. 

Luahan kekecewaan Madhavi itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang menganggap perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia seperti membezakan rakyat berbangsa India dengan bangsa-bangsa yang lain di Malaysia. 

Berikutan tersebarnya kenyataan Madhavi Rai itu di media sosial, Astro melalui Naib Presiden Khidmat Pelanggan, Balamurugan Muniraju, memohon maaf di atas insiden yang berlaku pada wanita berkenaan. 

"Berkenaan dengan maklumbalas Puan Madhavi, kami di Astro memohon maaf kepada beliau di atas pengalaman yang tidak menyenangkannya itu. Kami sangat kesal dengan insiden itu, yang mana ia tidak sepatutnya berlaku. 

"Kami memandang serius perkara ini dan akan menyiasat apa sebenarnya yang berlaku dalam kes Puan Madhavi, untuk memastikan kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 9 Julai lalu. 



Dalam kenyataan itu juga, beliau menjelaskan pihak Astro sedang menjalankan kempen di mana pelanggan barunya yang memilih membuat pembayaran secara auto debit akan menikmati rebat atas yuran pemasangan. Bagaimanapun, bagi pelanggan yang memohon tanpa auto debit pula akan membayar yuran pemasangan mengikut harga yang ditetapkan.

Berita berkaitan:
'Adalah amat memalukan Astro amalkan polisi sebegini' - Pengadu