'Abang, maafkan saya kerana kejam' - Wanita kongsi cara bagaimana dia manfaatkan wang hantaran RM12,000


Biasa dengar wang hantaran cecah ribu atau puluhan ribu ringgit. Tetapi ke mana arah tuju duit itu selepas majlis kahwin? Ada pasangan yang gunakan untuk bercuti berbulan madu di dalam atau luar negara, ada juga yang gunakan untuk membeli barang-barang keperluan rumah sendiri. Baru kahwin, maklumlah dah duduk berdua. 

Bagi pengasas RZN Beauty ini, Puan Rami Zati Najwa Hilmi, wang hantaran kahwinnya sebanyak RM12,000 langsung tidak dibenarkan diusik semasa kahwin. Sebaik saja habis kahwin, beliau menjadikan wang hantaran itu beranak, atau kata lainnya, berlipat kali ganda. 

Bagaimana beliau melakukannya? Ada caranya, sudah semestinya bukan melalui meeting larut malam. Semoga bermanfaat! 


DENGAN duit hantaran RM12,000 jadi jutaan ringgit. Nak minta duit hantaran mahal? Boleh, silakan tetapi baca ini. 

Masih saya ingat peristiwa yang mendebarkan pada tarikh keramat 14 Julai 2012, iaitu lima tahun yang lalu. Di saat orang lain tekun belajar di kolej, bersuka ria bersama teman sepejuangan, tetapi saya? 

Saya ditakdirkan untuk menjadi seorang Suri Hati Abang Minyak. Di usia yang begitu muda, saya telah memilih jalan untuk memikul tanggungjawab yang besar. Majlis perkahwinan kami? Oh, semestinya bagai yang saya impikan. Hahaha! Tetapi apa-apa pun, saya bersyukur.

"Mommy! Mommy! Ambilkan ball tu," lamunan saya terhenti, lalu dihulurkan bola berwarna merah yang dibeli dua minggu yang lalu untuk satu-satunya anugerah yang terindah, yang telah Dia amanahkan kepada saya, Noah. 

Seringkali saya bagaikan tidak percaya, saya seorang isteri dan ibu. Malah saya juga seorang founder. Sedangkan jika nak diputarkan balik masa, saya bukan sesiapa ketika berusia 17 tahun yang lalu. Saya hanyalah seorang anak bongsu yang bernama Rami Zati Najwa yang sangat degil. 

Ya, saya degil. Kalau saya tak degil, saya tidak akan berani mengeluarkan modal sendiri dari wang simpanan sebanyak RM500 di usia 17 tahun. 

Dengan modal itu, Alhamdulillah sedikit demi sedikit saya boleh tambahkan modal untuk mengembangkan lagi perniagaan online saya yang semakin hari semakin maju. 

PANGG!!!

Apakan daya, kita hanya mampu merancang. Namun Dia yang menentukan segalanya. Saya mendapat tamparan yang hebat dari Dia. Saya diduga, saya terlibat dalam kemalangan dan di saat itu saya memerlukan banyak duit di atas kerugian yang saya alami. 

Tanpa berfikir panjang, saya menggunakan duit simpanan dan juga duit modal hasil titik peluh saya berniaga sejak berusia 17 tahun itu. 

Saya buntu dan mula terasa beban yang sangat berat untuk saya pikul ketika berusia 20 tahun. Dengan mengenangkan kembali keputusan aku untuk berhenti belajar beberapa bulan yang lalu kerana ingin fokus pada bisnes. Argh!! Saya buntu!

"Ya Allah, bantu saya, tunjukkan saya jalan untuk saya memulakan kehidupan saya," saya menadah kedua-dua tangan memohon petunjuk dari yang Esa. 

Di saat getir begitu, saya hanya memikirkan satu cara iaitu, berkahwin. Tetapi dengan siapa? Tipu kalau saya tiada seseorang yang istimewa. Ya, ada tetapi dia juga masih belajar. 

Hari bersilih ganti, saya hanya mampu berdoa pada yang Esa agar memberikan saya jalan. Sehinggalah pada suatu hari, hubungan saya dan teman istimewa saya berakhir separuh jalan. Tetapi Dia Maha Mengatur, saya ditemukan dengan seorang lelaki. Lelaki itu kawan kepada kawan saya dan kami ditemukan ketika menyertai Kelab Kereta Terengganu Neo Crews. 

"Oh, inikah yang dinamakan jodoh dari langit?"


Dipendekkan cerita, Allah permudahkan urusan kami. Kami bertunang dan kahwin. Acah-acah nak bercinta selepas kahwin kononnya. Saya hanya mengiakan sahaja kerana saya sudah nekad yang saya akan memulakan kehidupan baru. 

Pertemuan kami ketika sebelum kahwin hanya dua tiga kali sahaja. Dari segi hantaran, semuanya ditanggung oleh dia kerana saya dah maklumkan awal-awal lagi yang saya tidak dapat nak mengeluarkan satu sen pun untuk kos kahwin ini. 

Hantaran pula telah ditetapkan sebanyak RM12,000+ . Dalam kepala, duit ini nanti akan saya buat untuk modal bisnes sahaja. Jahat tak saya? hahaha! 

Tiktoktiktoktiktok! 

Masa berlalu dengan pantas, majlis berjalan dengan lancar di kedua-dua belah pihak. Tanpa membuang masa, saya memulakan rancangan saya untuk menggunakan wang hantaran sebagai modal perniagaan yang saya telah jatuh cinta ini. 

"Abang, maafkan sayang kerana kejam. Wang hantaran RM12,000 ini tak bagi usik langsung masa majlis hari itu." 


Bila difikirkan balik, saya pun tak tahu sama ada saya jahat atau apa, tetapi yang pasti saya tiada niat nak menipu dia. Sebab bagi saya, kejayaan yang saya ada hari ini bermula dari wang hantaran yang diberikan oleh suami saya. 

Jadi, saya hanya berharap para wanita di luar sana menggunakan cara saya. Gunalah seeloknya wang hantaran yang ada. Contoh seperti saya, RM12,000 digunakan untuk membeli stok produk kecantikan. Jangan tiru saya berani modal besar sebab saya sudah bertapak dalam bisnes online sejak berusia 17 tahun. Jadi saya ada pengalaman dan pelanggan. 


Trust me! Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Dalam masa hampir setahun, saya membayar balik wang hantaran itu secara taktik halus. Contohnya saya bawa suami bercuti di Korea, Indonesia, Hong Kong, Jepun dan lain-lain. Semuanya saya yang bayar dari hasil duit hantaran itu. 

Sekurang-kurangnya rasa bersalah saya pada dia ketika itu tak ada terbawa-bawa sehingga ke hari ini. Jika diingatkan kembali, saya sangat kejam ketika itu sebab kos kahwin kami sangat mahal, hampir RM50,000+. 

Tetapi percayalah, saya berkahwin dengan dia bukan kerana kerjayanya, pangkat dan wangnya tetapi hanya perlukan bahu untuk bersandar dan payung untuk berteduh. 

Pesan saya pada wanita di luar sana, nak minta hantaran mahal-mahal, silakan. Tetapi ingat, gandakan duit itu untuk hidup bersama-sama suami tercinta dan anak-anak. 

Alhamdulillah, jatuh bangun saya kerana wang hantaran. Terima kasih abang kerana sudi bagi loan hantaran walaupun abang terpaksa hadap dengan perangai sayang. 

Mana tidaknya, kahwin dahlah mahal. Tak bercinta dan lepas kahwin terpaksa hadap perangai saya yang macam dalam drama. Depan orang elok, belakang asyik nak ajak bergusti. Nasiblah Najwa oi dapat suami penyabar. Ya, manusia yang sangat penyabar dengan kerenah saya. 


Tips untuk sesiapa yang belum berkahwin. Boleh minta hantaran RM10,000 tetapi jangan bazirkan duit itu untuk benda-benda yang tidak berfaedah. Cuba beranakkan duit itu dengan menjadi stokis sesuatu produk hot dan ingat, jangan mengada nak buat produk sendiri sebab modal marketing tiga kali ganda dari modal produk. Membazir. Lagipun tak salah kita cuba dulu jual produk orang. 

Contoh: 
  • RM3,000 stokis
  • RM1,000 invest cari ilmu
  • RM2,000 beli emas
  • RM3,000 simpanan
  • RM1,000 bagi ibu bapa

Believe me! RM3,000 akan menjadi RM6,000 dari masa ke semasa dan RM9,000 untuk bulan ketiga dan seterusnya. Kalau nak dikira, dalam masa setahun saja dah boleh bina hidup dengan sempurna. 


Terima kasih suamiku, Mohd Nazri. Tanpa abang, saya tidak akan berada di tahap ini. Mohon doa dan restu abang untuk saya terbang lebih tinggi. 

Ingat para wanita di luar sana, jangan bazirkan duit hantaran anda. Jadilah wanita yang bijak. Najwa dah beranakkan duit hantaran. Anda bila lagi? Mungkin boleh jadi inspirasi usahawan yang lain. Tag pasangan anda tau. 

Founder RZN Beauty
'Abang, maafkan saya kerana kejam' - Wanita kongsi cara bagaimana dia manfaatkan wang hantaran RM12,000 'Abang, maafkan saya kerana kejam' - Wanita kongsi cara bagaimana dia manfaatkan wang hantaran RM12,000 Reviewed by Editor on 3:27 PM Rating: 5