Bapa didakwa paksa anak (5) berdiri di jalan tar sehingga tapak kaki melecur


MELAKA - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini selepas dia dituduh memaksa anak lelakinya berusia lima tahun berdiri di luar di bawah cahaya matahari terik tanpa memakai selipar/kasut sehingga menyebabkan tapak kaki kanak-kanak itu melecur, lapor New Straits Times. 

Tertuduh, Muhamad Faisal Salam, 31, dari Bukit Palah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan padanya di depan Hakim Norma Ismail. 

Muhamad Faisal didakwa di atas tuduhan mendera mangsa yang di bawah tanggungannya, dengan memaksa mangsa berdiri di jalan tar ketika cuaca panas sehingga menyebabkan kedua-dua tapak kaki mangsa melecur. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman nya di Batu 2, Bukit Palah pada jam 3 petang, 24 Julai tahun ini dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban, mengambil kira keseriusan kes itu dan tidak menawarkan sebarang ikat jamin untuk tertuduh.


Bagaimanapun, Peguam Ishak Kari dan Mohd Faiezad Razali meminta agar anak guaman mereka dibenarkan ikat jamin dengan kadar minimum. 

"Dia hanya meraih pendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menanggung tiga orang anaknya. 

"Tertuduh juga perlu menjaga bapanya berusia 71 yang sakit dan abang iparnya yang mengalami kecacatan," katanya. 

Hakim Norma membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan menetapkan tarikh 5 September ini untuk dibicarakan. 
Bapa didakwa paksa anak (5) berdiri di jalan tar sehingga tapak kaki melecur Bapa didakwa paksa anak (5) berdiri di jalan tar sehingga tapak kaki melecur Reviewed by Editor on 10:08 PM Rating: 5