Bayi 4 bulan maut muka tersembam bantal dalam buaian


BAYAN LEPAS, PULAU PINANG - Seorang bayi lelaki meninggal dunia dipercayai lemas selepas mukanya tersembam bantal ketika tidur dalam buaian di kediamannya di Teluk Kumbar, hari ini, lapor Harian Metro. 

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, ibunya, Melati Mohammad, 32, hanya menyedari bayinya itu sudah meninggal dunia selepas baru pulang dari kerja di kilang. 

Menurut Melati, dia terkejut apabila melihat anaknya, Faris Dayyan Qhumainy, berusia empat bulan tertiarap dengan mukanya tersembam bantal. 

"Anak bongsu saya itu sudah tidak sedarkan diri serta pucat. Kami kemudian membawanya ke Hospital Balik Pulau.

"Bagaimanapun doktor mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia," katanya memetik laporan dari Harian Metro, ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang. 

Difahamkan, mangsa yang merupakan anak bongsu dari empat beradik itu sudah boleh meniarap sejak tiga hari lalu. 

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Batu, Teluk Kumbar, selepas bedah siasat dilakukan. 

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan mengesahkan kejadian tersebut. 
Bayi 4 bulan maut muka tersembam bantal dalam buaian Bayi 4 bulan maut muka tersembam bantal dalam buaian Reviewed by Editor on 4:51 PM Rating: 5