Hidup ini singkat, kita tidak tahu bila kita akan 'berangkat' - Tauke Jambu


Baru-baru ini, pelawak, Tauke Jambu, berkongsi kata-kata yang sangat deep di akaun Instagramnya. Ramai follower beliau terkesan dengan kata-kata motivasi itu.

Post yang dimuat naik empat hari lalu mungkin tidak bermaksud apa-apa. Namun, apa yang menarik perhatian apabila Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, menyentuh soal sahabat, membuatkan ada netizen yang teringat pada arwah Yus Jambu.

Al-fatihah buat arwah Yus Jambu. 

ADA orang sedih, "Kenapa adik-beradik saya tak datang ke rumah pun? Selalu saya saja yang kena ziarah mereka. Dan mereka 'lalu' saja rumah saya tetapi tak singgah."

Mari saya beritahu. Allah SWT perintahkan kita menziarahi saudara mara atau kenalan kita untuk mengeratkan silaturrahim. Jika kita buat, kira dapat pahala, mereka tak dapat. Bab ini kita yang pilih, antara pahala atau kebencian, atau dendam, atau cemburu. Jadi, biarkan orang yang tidak mahu menyambung silaturrahim. Kita ikut sunnah, pasti kita bahagia. 

Seperkara lagi, saya sendiri tidak kesal atau kecewa jika rumah saya tidak dikunjungi sanak saudara. Mungkin mereka sibuk dan ada hal yang lebih penting daripada silaturrahim. Kita tidak perlu berkecil hati, inshaAllah orang lain jadi tetamu kita, membawa balik dosa kita dan membawa rahmat.

Fahamilah tujuh perkara dalam hidup kamu:
  1. Apabila ayah kamu meninggal dunia, maka matilah pimpinan dan nasihatnya. 
  2. Apabila ibu kamu meninggal dunia, maka terpadamlah cahaya kelembutan belaian dan tunjuk ajarnya.
  3. Apabila abang kamu meninggal dunia, maka longlailah cita-cita yang dikongsi bersama.
  4. Apabila kakak kamu meninggal dunia, maka hilanglah senyuman kasihnya.
  5. Apabila adik-adik kamu meninggal dunia, maka hilanglah tempat menumpang kasih, nakal, gurauan dan keceriaannya.
  6. Apabila pasangan kamu meninggal dunia, maka pudarlah perkongsian harapan, perasaan dan keceriaannya. 
  7. Apabila sahabat kamu meninggal dunia, maka pudarlah sinar nasihat dan doa tulus dari bersih hatinya. 
Ketahuilah bahawa hidup ini sangat singkat untuk kedengkian, kemarahan, kebencian dan memutuskan hubungan kerana esok semuanya hanya tinggal kenangan. Maka senyumlah, berlapang dadalah, maafkanlah sesiapa yang telah menyakitkan kamu lantaran kita tidak tahu bila kita akan berangkat 'meninggalkan' dunia yang fana ini.

Andai kamu melihat kanak-kanak yang sedang bermain, itulah masa silam kita. Andai kamu melihat orang tua yang berjalan menggunakan seluruh kudrat kerana tidak larat, maka itulah masa depan kita. Andai kamu melihat pula jenazah yang sedang diusung ke tanah perkuburan, maka ingatlah bahawa itulah nanti pengakhiran hidup kita di dunia ini. 

Manfaatkanlah masa yang mulia ini sebelum kesempatan berlalu pergi. 

Muhasabah seorang insan daif