'Jangan heret pihak produksi, dia (Afifah) tahu perkara yang sebenarnya' - Aliff


KUALA LUMPUR - Penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz, mendakwa penjelasan yang diberikan oleh Afifah Nasir dalam sidang media yang diadakan di pejabat peguamnya semalam sebagai 'mengarut', lapor Berita Harian. 

Aliff juga turut mempersoalkan tindakan Afifah yang mengheret syarikat produksi dalam kontroversi mereka berdua kononnya dia diminta oleh syarikat produksi berbuat demikian bagi membangkitkan mood ketika penggambaran, selain melayan karenah Aliff yang lambat serta tidak datang ke set menjalani penggambaran. 

"Afifah ada menyebut dirinya menjadi mangsa keadaan apabila pihak produksi menyuruhnya melayan kerenah dan bermanja dengan saya. Dia cakap ini dapat memberi mood dan saya akan datang ke lokasi penggambaran untuk melunaskan baki penggambaran. 

"Jika betul apa yang dikatakan itu, saya mahu bertanya, beapa usia Afifah sehingga dia tidak boleh menentukan apa yang betul atau salah? Dia bukan belasan tahun sehingga perlu mengikut telunjuk orang dengan alasan kononnya mahu membantu produksi melunaskan penggambaran dengan segera. 


"Usia saya 26 tahun dan Afifah pula 24 tahun. Beza usia kami hanya dua tahun. Sejauh mana dia boleh berkorban jika benar dakwaan pihak produksi yang meminta dia berbuat demikian untuk saya?

"Jangan gunakan alasan kononnya masih baru dalam dunia seni. Bukan dia tidak dibayar untuk berlakon. Dia ada hak untuk menolak perkara yang bertentangan dengan kemahuan dirinya," katanya. 

Aliff juga berkata, jika dirinya yang bermasalah, mengapa pihak produksi tidak mengambil sebarang tindakan ke atas dirinya. 

"Saya tidak perlu nak menyelamatkan diri dengan mengheret orang lain. Saya sendiri mengaku silap sebelum ini dan meminta maaf kepada isteri, keluarga, peminat dan semua pihak atas khilaf yang dilakukan.

"Saya fikir Afifah akan matang berdepan dengan hal ini. Saya dan dia tahu perkara yang sebenar seperti apa yang saya tegaskan sebelum ini," katanya. 

Bagi Aliff yang telah meneliti semula kenyataan Afifah semalam, memang ada yang tidak masuk akal baginya. Apa yang berlaku adalah hal peribadi dan tidak perlu membabitkan produksi yang memberi rezeki serta tidak perlu nak menegakkan benang yang basah. 

Aliff juga menafikan dakwaan yang mengatakan dia mempunyai masalah disiplin sehingga tidak datang ke set. 

"Sejak mula berlakon, saya tidak pernah berdepan dengan isu besar misalnya tidak datang ke set hanya kerana teman gandingan menimbulkan masalah. Malah jika saya bermasalah tak datang set sehingga lapan hari atau lambat sekalipun, pihak produksi boleh menghubungi saya. Mereka boleh saman dan bertindak jika saya tidak melunaskan komitmen yang sudah dipersetujui," katanya. 

Menggulas mengenai permohonan maaf Afifah kepada isterinya, Bella Astillah kerana membiarkan tangannya dipegang oleh Aliff ketika berada di pusat karaoke, Aliff mempersoalkan motif Afifah. 

"Dia patungkah hingga membiarkan tangannya dipegang saya? Bukan dia tak boleh menepis atau menolak tangan saya. Malah Afifah ada menerima kiriman WhatsApp daripada isteri saya pada sebelah pagi sebelum insiden kantoi di pusat karaoke itu. Namun Afifah pergi juga pusat karaoke itu. 

"Saya terima hukuman 'cash' kerana perkara itu diketahui isteri hingga kantoi pada petang sama. Sedangkan Afifah terus berdolak dalik hingga membabitkan seorang lagi pelakon iaitu Allan Amir yang kononnya akan turut bersama kami di pusat hiburan itu," katanya. 


Mengenai bukti rakaman perbualan yang didedahkan kepada media, Aliff juga mempertikaikan tindakan Afifah yang tidak membenarkan rakaman perbualan itu didedahkan kepada umum. 

"Saya fikir siapa saja boleh 'berlakon' menjadi pekerja produksi itu hingga rakaman diperdengarkan kepada wartawan tetapi tidak boleh dirakam semula oleh media atas alasan bimbang kenyataan disalahguna dan menjejaskan reputasi. 

"Kalau rasa betul kenapa tidak dedahkan saja identiti individu yang dimaksudkan? Afifah," katanya. 

Kehadiran Allana dalam sidang media Afifah juga menimbulkan persoalan Aliff yang mana menganggap pelakon baru itu cuba mengambil kesempatan untuk jadi popular dalam kontrovesi itu. 

"Apa masalah Allana sebenarnya? Bukan dia ada setiap hari di set penggambaran pun. Apa yang dia cuba lakukan, saya kurang pasti atau mungkin cuba mengambil kesempatan untuk jadi popular dengan kontroversi ini," katanya.
'Jangan heret pihak produksi, dia (Afifah) tahu perkara yang sebenarnya' - Aliff 'Jangan heret pihak produksi, dia (Afifah) tahu perkara yang sebenarnya' - Aliff Reviewed by Editor on 3:21 PM Rating: 5