'Kaki saya patah dilanggar pemandu mabuk tetapi sehingga kini pemandunya tidak dikenakan tindakan'


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki mendakwa dia telah dianiaya dan kes dirinya menjadi mangsa kemalangan akibat pemandu mabuk 'dibakul sampahkan' begitu sahaja. 

Ahmad Budiman Bin Mohamad Rosdi melalui Facebooknya berkata, dia telah menjadi mangsa pemandu yang mabuk berkenaan menyebabkan kakinya patah dan terlantar selama tiga bulan di rumah keluarganya. 

Dalam luahannya itu juga, Ahmad Budiman kesal tiada sebarang tindakan dari pihak berkuasa yang menyiasat kesnya itu, malah pemandu wanita sepatutnya bertanggungjawab itu telah dibiarkan terlepas begitu sahaja tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang. 

Kecewa dan berasa teraniaya dengan keadaan itu, Ahmad Budiman kemudian memuat naik kejadian itu di laman Facebooknya pada 10 Ogos yang lalu dengan berharap pihak atasan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera. 

AL-KISAH BENAR

Saya sedang bekerja menjaga trafik, kemudian ada sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang perempuan terbabas akibat memandu dalam keadaan mabuk dan saya menjadi mangsa keadaan. 

Diakibatkan pemandu itu panik, dia terus melarikan diri. Kawan-kawan sekerja yang lain terus mengejar pemandu yang melanggar saya itu dan berjaya menahannya. Alhamdulillah. Kami terus mengambil kunci kereta pemandu itu dan menunggu polis tiba di tempat kejadian. 

Tiba-tiba datang sebuah kumpulan kereta towing dan berbicara dengan pemandu wanita itu sebelum mereka meminta kunci kereta dan bawa pemandu wanita itu lari. Dua rakan sekerja saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana jumlah kumpulan towing itu terlalu ramai. 

Dalam masa yang sama, saya pula sudah berada dalam ambulans dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

Ceritanya sekarang, saya mahu pemilik kereta nombor pendaftaran JLM3783 bertanggungjawab di atas perbuatannya dengan menuntut gantirugi dari insurans kereta dia. Tetapi roadtax dan insurans kereta itu telah tamat tempoh. Jadi saya nak buat tuntutan macam mana? 

Kaki saya dah patah dan terpaksa duduk di rumah selama 3 bulan seperti orang lumpuh. Kata maaf dari pemandu itu pun tak ada. Saya dah cuba mengambil khidmat peguam tetapi ramai yang tak mahu kerana pegawai polis yang mengambil kes saya ini tidak memberi kerjasama yang baik. Ada peguam yang mahu mengambil kes saya ini tetapi nak buka fail kes ini menelan kos berpuluh-puluh ribu. Nampaknya tak jadi apa. 

Selepas saya sudah mampu berjalan menggunakan tongkat, saya terus pergi ke balai untuk membuat laporan kali kedua disebabkan tiada apa-apa tindakan yang diambil ke atas pemandu kereta Myvi itu. Kalau begitu, buat apa rakyat Malaysia bayar cukai jalan dengan insurans mahal-mahal?

Selepas saya membuat laporan polis, saya terus berjumpa dengan sarjan yang mengambil kes saya ini. Saya dan saksi kejadian pula di-'sound' bodoh banyak kali sebab pandai-pandai buat laporan polis tanpa memaklumkan kepada sarjan itu terlebih dahulu. 

Dia kata dengan saksi kejadian:

"Kau dapat apa pergi buat report? Jadi saksi?"

Kemudian dia berkata pada saya pula, "Kau nak buat report apa lagi?". Dalam hati teringin saja saya nak kata saya dah terlanjur dengan anak dia (amarah). 

Saya rasa ada udang di sebalik batu. Sarjan yang ambil kes saya ini mempertahankan pemandu itu seperti wanita itu adalah bakal isteri dia. Tak apalah Sarjan Shuib, saya tak nampak awak terima 'apa-apa', tetapi saya dapar rasakan yang awak terima sesuatu dari pemandu yang melanggar saya itu. 

Allah nampak apa yang awak buat. Ingat sarjan, baik sarjan bunuh saya kalau tak nak mempermudahkan kes saya sebab saya dah cacat. Saya akan buat apa saja untuk membela nasib saya yang malang. Itu saja pesanan saya. 

Sedangkan orang yang baik, bersih hatinya pun Allah beri ujian bermacam-macam. Inikan kita yang jahat, jahil lagi segala macam-macam dosa kita buat. Nak-nak lagi orang yang selalu buat naya pada orang lain, tunggu saja giliran dan harap bersabar menunggu kifarah datang. 

Saya minta kawan-kawan yang lain share, biar pihak atas dengar masalah kes aniaya dan rasuah.

Di sini saya bukan ingin mengambil kesempatan tetapi saya tiada pendapatan yang tetap buat masa yang panjang, yang dianggarkan doktor. Dengan sekarang ini rumah sewa, adik tiga orang masih bersekolah, ayah berusia 60 tahun sudah tidak bekerja, tinggal ibu yang masih berniaga nasi kukus di tepi jalan yang menanggu semuanya pun masih belum mencukupi. 

Saya mangsa yang teraniaya mengharapkan bantuan orang ramai untuk membantu saya yang kini berdepan masalah ingin meminta bantuan rakan-rakan yang mengenali saya dan seluruh rakyat Malaysia yang ingin menderma kepada saya secara ikhlas untuk melantik peguam dan kos perubatan dengan ubat-ubatan yang lain-lainnya sehingga sembuh seperti sediakala. 

Sekiranya bantuan yang diperlukan sudah mencukupi, saya akan maklumkan secepat mungkin sebab saya tidak mahu dianggap mengambil kesempatan. Sebab itu salah satu daripada perbuatan menipu. 

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengguna Facebook dan yang telah menyokong saya sehingga kes ini selesai. Allah saja yang dapat membalas jasa baik tuan puan. 

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank, 164799-165762 di atas nama Ahmad Budiman Bin Mohamad Rosdi.