'Kami tinggal berasingan daripada hari pertama, saya tak pernah 'bersama' dengan dia' - Hafiz Hamidun


KUALA LUMPUR - Dalam sidang media yang diadakan petang tadi, Hafiz Hamidun mengakui bahawa dia tidak pernah mengadakan hubungan kelamin dengan Siti Arifah atau lebih dikenali sebagai Joy Revfa. 

Hafiz berkata, dia berbuat demikian kerana sejak dari awal lagi dia meragui perkahwinan dengan usahawan kosmetik berkenaan yang berlangsung pada 1 Mei lalu. 

"Apabila saya mengetahui masalah ini (tiada sijil cerai), saya mengambil pendekatan untuk tidak menyentuh dan mengadakan hubungan kelamin. Saya bertindak menjauhkan diri kerana enggan menimbulkan masalah lain di masa akan datang. 


"Lagipun apabila masalah ini timbul, saya tidak menganggap dia sebagai isteri. Jadi, jangan panggil kami suami isteri," katanya. 

Hafiz menegaskan dia berasa kesal dengan tindakan wanita itu yang sengaja mendedahkan permasalahan rumah tangga mereka di media sosial sehingga diketahui umum, tidak seperti perancangan yang dipersetujui oleh mereka sebelum ini yang menetapkan tiada sebarang kenyataan mahupun 'hint' yang dikeluarkan bagi mengelakkan timbul sebarang spekulasi orang lain. 

Hafiz berkata, dia pada awalnya mahu menyelesaikan masalah itu secara tenang dan tertutup tanpa membabitkan mana-mana pihak, namun tergendala apabila Siti Arifah mula mengeluarkan kenyataan di media sosial. 


"Apabila masalah ini jadi kecoh, saya pun dah malas nak layan. Sepatutnya perkara ini boleh diselesaikan secara baik kerana kami sudah berbincang dari awal lagi sebelum bernikah.  Lagipun saya sudah berusaha sehabis baik untuk menyelamatkan perkahwinan ini tanpa diketahui khalayak. 

"Kalau dia kata dia telah berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan ini, kenapa dia bertindak terburu-buru? Saya sebenarnya yang sedaya upaya untuk:

1. Menyelamatkan kes perkahwinan dia yang terdahulu.
2. Menyelamatkan perkahwinan saya yang baru saja berusia sebulan dua.

"Jadi saya sebenarnya sebelum ini saya memang bersungguh-sungguh menyelamatkan perkahwinan ini. Namun tidak menemui jalan yang mudah kerana diganggu oleh pelbagai janji-janji yang dilaksanakan dengan sempurna oleh pihak sana.


Mengulas dakwaan Siti Arifah yang dirinya hanya berkesempatan bersama Hafiz selama enam hari dan diabaikan selepas itu, Hafiz menafikan dakwaan itu dan mempunyai alasan mengapa dia berbuat demikian. 

"Saya sudah berusaha menyelamatkan keadaan ini. Malangnya dia pula bertindak mengikut emosi sehingga mengundang pelbagai tanggapan negatif masyarakat. Saya tidak tahu apa motif tetapi dia telah memfailkan tuntutan itu dan saya telah serahkan kepada peguam saya untuk membuat tuntutan balas pada apa yang dia failkan.

"Kami tinggal berasingan daripada hari pertama, saya tak pernah tinggal bersama-sama dengan dia. Hubungan seks? Tak pernah. Saya tidak pernah melakukan hubungan kelamin dengan dia. Malah saya tidak lari, saya tak pernah lari pun. Saya cuba untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

"Apabila membabitkan isu di awal-awal pernikahan itu, pada saya kita cuba menjalankan tanggungjawab seperti mana orang yang baru berkahwin tetapi kerana ada keraguan terhadap satu perkara tersebut, saya bertindak untuk menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang menimbulkan masalah pada masa akan datang," katanya. 



"Kalau saya jenis tak bertanggungjawab, sudah lama saya membiarkan isu ini. Namun mengenangkan dia bersama saya, jadi saya perlu berbuat sesuatu bagi menyelesaikan masalah ini daripada berterusan," katanya.

Ekoran masalah rumah tangga mereka telah diketahui umum, Hafiz mengaku dia sudah tawar hari dan reda dengan apa saja keputusan yang ditentukan oleh mahkamah.

"Kalau tanya perasaan saya sekarang terhadap perkahwinan kami, saya sudah tawar hati. Saya reda dengan apa saja keputusan pada 14 September nanti," katanya.

Sumber: Harian Metro. mStar Online