'Saya tak pernah suruh Afifah dan Aliff rapat' - Produksi


KUALA LUMPUR - Selepas Aliff Aziz dan Afifah Nasir mengeluarkan kenyataan masing-masing, kini giliran pihak produksi pula tampil mengeluarkan kenyataannya berhubung kontroversi dua pelakon berkenaan.

Dalam laporan Harian Metro, Pengarah drama Izinkan Aku Mencintaimu, Mansor Akob, menafikan dakwaan Afifah Nasir kononnya pihaknya telah mempergunakan pelakon wanita itu untuk memujuk dan melayan kerenah Aliff Aziz agar memberikan kerjasama sepanjang penggambaran. 


Mansor berkata, dia dan kru produksi yang lain tidak pernah mengeluarkan arahan dan perancangan seperti itu. 

"Saya tidak pernah menyuruh mereka rapat, malah jauh sekali untuk membuat perancangan seperti yang didakwa Afifah. Bagi saya, itu hanya cakap-cakap kosong dalam kalangan kami. 

"Soal masalah di lokasi adalah perkara biasa dan susah nak dielakkan. Namun kedua-dua mereka tetap memberikan komitmen yang baik," katanya. 

Menurut Mansor, dia sendiri tidak tahu menahu kehadiran Aliff dan Afifah di sebuah pusat karaoke di Cheras pada 27 Julai lalu. 

Dalam sidang media Afifah yang dibuat di pejabat peguamnya Isnin lalu mengakui kehadirannya bersama Aliff ke pusat karaoke itu adalah atas urusan kerja. Malah Afifah mendakwa dia telah dipergunakan oleh pihak produksi serta mempunyai bukti rakaman perbualan kakaknya, Anzalna Nasir bersama salah seorang kru produksi yang hanya didedahkan kepada media sahaja. 


Bagaimanapun, Aliff Aziz mendakwa kenyataan Afifah itu adalah mengarut dan tidak masuk akal kerana mereka berdua tahu apa yang berlaku dan berharap Afifah mengeluarkan kenyataan yang benar kerana dia juga telah mengaku curang dan meminta maaf kepada isterinya, Bella Astillah. 

Kenyataan Aliff Aziz itu menimbulkan rasa tidak puas hati teman lelaki Afifah iaitu Wan Ariff, yang mendakwa Afifah berkata benar dan sanggup bersumpah dengan Al-Quran, selain mengajak penyanyi kelahiran Singapura itu bersemuka dengannya pada hari Khamis, iaitu hari ini. 
'Saya tak pernah suruh Afifah dan Aliff rapat' - Produksi 'Saya tak pernah suruh Afifah dan Aliff rapat' - Produksi Reviewed by Editor on 2:28 PM Rating: 5