Wanita didera, dicungkil matanya sebelum dipukul dan dibakar sampai mati kerana disangka ahli sihir


INDIA - Seorang wanita didakwa telah didera sehingga mati oleh ahli keluarganya sendiri, termasuk dua remaja perempuan kerana percaya wanita itu adalah ahli sihir, lapor Daily Mail. 

Kanya Devi, 40, telah didera dengan begitu kejam di mana dia dibogelkan tanpa seurat benang, dipaksa makan najis dan dibakar di atas api, sebelum matanya dikorek dengan batang besi yang telah dipanaskan pada api. 

Menurut jurucakap polis tempatan, mangsa yang merupakan janda berasal dari sebuah kampung di Kadera, daerah Ajmer, negeri Rajasthan, utara India, maut akibat kecederaan parah, sebelum mayatnya dibakar oleh keluarganya bagi menyembunyikan bukti kejadian itu. 

Lima individu termasuk cucu dan anak buahnya yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kejadian itu telah ditahan. 

Bagaimanapun polis berkata mereka agak sukar mendapatkan bukti kejadian itu kerana mayat mangsa telah dikebumikan. 


Perbuatan jenayah keluarga berkenaan hanya diketahui oleh polis selepas seorang penduduk tempatan yang juga bersaudara dengan mangsa, Mahadev Regar, pergi ke majlis pengebumian itu dan menghubungi polis selepas dia mendapat tahu bagaimana mangsa meninggal dunia. 

Menurut jurucakap polis, "Pada 8 Ogos, Mahadev telah membuat aduan pada polis, tetapi kami masih menunggu laporan polis dari keluarga terdekat wanita berkenaan. Selepas anak mangsa yang berusia 23 tahun, Maya Devi, mengemukakan aduan, barulah kami membuat laporan polis pada Ahad lalu. 

Superintendan Rajendra Singh berkata, "Mangsa didera dengan teruk. Salah seorang keluarganya telah mengaku memaksa mangsa makan najis, selain memukul dan membakarnya sehingga mati. 

"Lima daripada enam tertuduh telah ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh di bawah seksyen yang berkaitan dengan Akta Pencegahan Sihir Rajasthan," katanya. 


Menurut seorang aktivis di kawasan itu, Tara Ahluwalia berkata, "Mereka mendakwa kononnya mereka diarahkan untuk membelasah Kanya kerana dia adalah ahli sihir. Tetapi punca sebenarnya adalah perebutan harta. 

"Suami Kanya telah meninggal dunia baru-baru ini dan memandangkan anak lelakinya masih kecil, saudara mara suaminya berkomplot untuk menyingkirkan dia dan merampas tanahnya," katanya. 

Kesemua suspek-suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu telah ditahan atas dakwaan menghapuskan bukti dan mendera mangsa sehingga mati.