'Jam 2.30 pagi, budak kecil ini menangis seperti histeria di tengah jalan dan hujan lebat'


Tergamak pasangan ini meninggalkan anak kecil mereka berusia lingkungan 5 tahun di rumah seorang diri. Menurut wanita ini, sudah kerap pasangan itu meninggalkan anak mereka bersendirian sehingga dia dan suaminya menemui kanak-kanak itu menangis dan meraung di tengah jalan dalam hujan lebat sekitar jam 2.30 pagi.

18 SEPTEMBER 2017, 2.55 PAGI

Allahuakbar. Tengah duk buat kerja jam 2.30 pagi tadi, tiba-tiba terdengar suara budak menangis. Awalnya ingatkan hantu ke apa, jadi saya buat tak dengar saja. Makin lama makin kuat pula sampai menjerit-jerit budak itu. Dengan tengah hujan, seram juga saya. Tetapi naluri keibuan saya rasa sesuatu. 

Saya buka pintu, tengok hujan lebat di luar. Tapi tak nampak sesiapa pun di luar. Jadi aku tutup balik pintu. Elok saja aku nak duduk, terdengar lagi bunyi tangisan meraung itu sekali lagi, kuat dan rasa depan pagar rumah saja. Saya nekad kejutkan suami dari tidurnya. 

"Bie, suara budak meraung. Suara macam budak kecil sebelah saja," 

Suami pun bangun, dia buka pintu dan nampak budak itu berada di tengah jalan dengan hujan lebat. Rupanya memang betullah budak yang saya selalu nampak bermain basikal di depan rumah saya. Usia sebaya Mohd saja, lebih kurang umur 5 atau 6 tahun begitu. 

Allah, kasihannya. Pagi-pagi buta budak ini menangis meraung-raung seorang diri hampir setengah jam juga di tengah-tengah hujan itu. Suami panggil dia datang ke rumah. Dia datang sambil menangis-nangis. 

"Kenapa ni? Mak ayah mana?" soal suami. 

"Mama dan ayah keluar dari tadi tak balik," jawabnya. 

Ya Allah, bayangkanlah, ibu bapa dia keluar dari awal sampai sekarang jam 2.30 pagi masih belum balik dan biarkan anak seorang diri begini? Saya bukanlah ibu yang sempurna sangat tetapi saya tak pernah tinggalkan anak saya begini. 

Bila saya tanya ibu dia keluar pergi kerja ke? Dia kata ibu dia keluar pergi beli telefon bimbit. Beli telefon apa di pagi buta ini?? 

Untuk pengetahuan semua, ini bukan kali pertama mereka tinggalkan budak ini begini. Sudah banyak kali berlaku. Tinggal, kemudian menangis. Saya pelik kenapa mereka tak bawa anak mereka jalan sekali. Budak ini ditinggalkan seorang diri, masih kecil lagi, kalau orang culik dia macam mana? Sedihlah. 




Sebelum ini, di waktu siang dia menangis sekejap saja. Selepas itu dia naik basikal pergi pusing taman. Ini tengah malam hujan lebat. Dia takut, itu yang dia menangis meraung macam nak mati.

Saya sedih sangat, manalah perasaan mak ayah budak ini? Saya bukan nak mengaibkan sesiapa tetapi saya nak beritahu semua jangan buat budak kecil begini. Kasihan dia. Kalau tak larat jaga, meh bagi saya. Saya risau dan takut kalau budak ini berada di tangan orang jahat, jahanam budak ini dikerjakan. 


Sekarang, saya dah bawa budak ini masuk ke dalam rumah. Saya bagi mandi sebab dia basah kuyup. Saya takut dia demam. Dia ada bersama dengan saya sekarang. Saya update ini sebagai bukti, risau pula kalau ada orang tuduh saya culik anak orang. Padahal mak dan ayahnya sendiri yang membiarkan dan mengabaikan anak mereka. 

Untuk ibu bapa yang lain di luar sana, tolonglah. Kalau mahu berseronok ke, apa ke, pergi ke mana-mana, tolonglah ingat jalan pulang ke rumah. Fikir anak di rumah. Bukannya tak ada otak nak fikir benda elok dan tak elok. 

18 SEPTEMBER 2017, 12.07 TENGAH HARI

Mak ayah dia balik kira-kira jam 3 lebih. Suami buka pintu, nak hantar budak itu balik. Tahu apa reaksi budak itu? Dia tidak mahu balik dan dia pusing-pusing dalam rumah kami. 

Bila saya tanya kenapa, dia kata dia takut ayah dia pukul dan disebabkan itu dia tidak mahu balik. Kemudian saya kata;

"Tak apa, jangan takut. Nanti pakcik pesan pada ayah jangan pukul."

Banyak kali saya dan suami pujuk dan suruh dia balik sebab takut juga kalau ada orang buat laporan polis dan tuduh kami culik budak itu. Alhamdulillah akhirnya dia ikut suami pergi balik ke rumahnya sendiri. 

Reaksi mak dan ayah dia? Langung tak terkejut, malah mereka berkelakuan seperti biasa biarpun anak mereka tiada di rumah. Langsung tak mengelabah. Bila suami bawa dan pergi hantar budak itu, mak dia cuma tanya sepatah sahaja, 

"Awat, dia menangis ke?" 

Suami saya cakap ye, menangislah di tengah hujan sambil memanggil 'mama' hampir setengah jam di dalam hujan. Mak dia terus mengambil anaknya dan langsung tidak mengucapkan terima kasih. Saya tak faham betul, kalau orang waras, boleh ke bersikap begitu? 


Ayah dia tak cakap apa, terus masuk rumah. Mak dia saja yang ambil anak dan berlalu pergi. Terima kasih pun tak ucap. Bukan nak mengharapkan apa-apa, cuma sebagai manusia kenalah ada adab bila orang dah tolong. Takkanlah nak ucapkan terima kasih pun tak boleh terkeluar dari mulut? Orang tolong selamatkan dan jaga zuriat mereka, benda yang sangat berharga di dunia. 

Budak itu pun boleh dapat rasa orang sayang dia ke tidak. Baru masuk sejam dua di rumah saya, dah tak mahu balik. Bukan nak katalah, mungkn layanan saya dengan mak dia tak sama. Sebab itu walaupun dia datang sekejap saja, tetapi dia rasa seronok tak nak balik.

Lagi sekali mereka buat begini, saya akan buat laporan polis.

'Jam 2.30 pagi, budak kecil ini menangis seperti histeria di tengah jalan dan hujan lebat' 'Jam 2.30 pagi, budak kecil ini menangis seperti histeria di tengah jalan dan hujan lebat' Reviewed by Editor on 12:31 PM Rating: 5