'Nak berjalan tak boleh, kalah orang dalam pantang, sakit tahap maksima!' - Menderita akibat guna jamu disumbat dalam lubang kemaluan


Dulu masa pertama kali dengar kaedah penggunaan jamu yang yang dimasukkan ke dalam lubang vagina, menimbulkan pelbagai tanda tanya di kepala, apakah boleh memasukkan sesuatu yang tidak sepatutnya ke dalamnya? Tidakkah ia akan mendatangkan sebarang kesan yang memudaratkan pengguna? Produk jamu ini selamat atau diiktirafkan oleh pihak kesihatan? 

Persoalan demi persoalan dan hari ini persoalan itu serba sedikit sudah terjawab berikutan ada bekas pengguna yang mendedahkan bahawa produk jamu itu telah mendatangkan masalah yang besar pada dirinya. 

Semoga pendedahan dari Khairul Yoi, Nor Suriani dan beberapa lagi individu yang lain mampu menyedarkan orang ramai betapa bahayanya menggunakan produk tersebut. 

"Jamu korek-korek ketat" 
(Tajuk macam haramjadah, tapi baca sajalah)

Itulah, aku dah kabor, orang perempuan memang gelojoh. Engkorang sabar jap. Nak ketat ke, nak sedap ke, nak mantap ke, jangan jadi mangkuk. Ini kes lebuh kurang macam meruang juga. Konon cuci faraj, nanti faraj bersih ketat macam masih dara katanya. Ini kata-kata dari founderlah. Biasanya founder yang suruh meruang dan insert segala makhluk asing dalam lubang korang ini, selalunya mengaji di Google sahaja. 

Tetapi apa kata doktor bertauliah yang belajar bertahun-tahun mengenai ilmu ini? Omak Yoi yang dah 13 tahun belajar ilmu tradisional ini bila ditanya dia kata;

"Ahh, ini semua bidaah! Orang tak buat meruang-meruang, korek-korek cium ini. ORang buat tangas saja kalau nak ketat. Yang bersalin buat tungku, urut, bla.. bla.. bla.." dia bebelkan aku. 

Jangan pelik, omak Yoi dulu pun bertugas di bahagian perbidanan di hospital. Sekarang dia dah bersara. Bila dia buat kelas, Yoi tukang jaga dewan. Jadi aku tahulah apa benda yang dia duk membebel pada anak-anak buah dia tentang vagina korang ini. 

Doktor pula kabor meruang dan insertion makhluk asing ke dalam vagina boleh menyebabkan scarring atau luka dan boleh menyebabkan jangkitan kuman. Itu pasal jangan memandai nak mengajar orang korek-korek. 


Tetapi, nakram power geng-geng ini, dikabornya pula;
  • "Jangan risau sis"
  • "Jangan risau dik
  • "Jangan risau akak-akak semua setakat ini tak ada lagi kes orang mati sebab insert jamu dalam lobang"

Allahu, sudahlah tak mengaji ilmu perubatan, nak lawan pula apa yang doktor dah larang. Lantak kaulah makcik, orang kata biar bodoh tapi jangan ajak orang lain jadi bodoh sekali. 

Kau jangan makcik, ini kes nyawa orang. Jangan disebabkan kau nak fulus sampai kau tak kisah akan kesihatan orang lain. Jangan begini, berniaga biar ada berkat, nanti berpeluh kau nak menjawab di depan tuhan. 

Memandangkan geng-geng perempuan begitu gelojoh nak melihat testimoni-testimoni manis dari tokey-tokey jamu, maka marilah kita jejaka-jejaka Malaya pula yang ambil tahu tentang perkara ini. Sekurang-kurangnya nanti kalau isteri korang nak sumbat-sumbat jamu dalam vagina dia, bolehlah korang azankan saja isteri kroang. 

Ha, kejap lagi adalah golongan pentaksub nak kata aku tutup periuk nasi orang ini. Tak apalah, redha sajalah. Janji aku tak tutup 'vachina' korang sampai rapat dan tak boleh dibuka sudahlah. 

Sumber: Khairul Yoi

Di bawah, perkongsian dari Puan Nor Suriani yang menerima kesan/akibat dari penggunaan produk jamu tersebut.

PERINGATAN: Bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak, hanya sekadar berkongsi pengalaman.

Ceritanya, saya memang menggunakan produk ***-Feminin Wash dan hati terasa nak cuba SKD11 untuk membantu masalah keputihan. Produk ini perlu insert atau dimasukkan ke 'bawah'. Satu bekas ada lima biji dan produk ini katanya perlu bersama untuk lebih effective.

Saya dah guna tiga biji sebelum ini untuk menarik keputihan keluar tanpa bersama dan okay boleh korek. Malam insert, esok keluarkan. Adalah kotoran keluar tetapi memang ketat gila-gila dan susah nak korek sebab dia menyempitkan faraj. Tak tahulah korek itu semua keluar atau tak, tapi kita yakinlah yang semua dah keluar sebab jari kita sendiri, kan. 

Hujung minggu baru-baru ini, saya insert dan bersama sebab katanya kalau bersama akan lebih berkesan. Selepas bersama, cuba korek tetapi tak boleh. Lubang tutup habis, tak boleh masuk langsung dan sakit tahap maksima. Dengan lekat di luar faraj macam simen, nak berjalan tak boleh dan mengalahkan orang dalam berpantang. Satu hari baring terlentang, tidak dapat duduk dengan betul dan sakit nak berjalan. 


Pagi Isnin terpaksa pergi ke klinik sebab rasa sakit dah mencapai tahap kritikal, sampaikan nak kencing pun menangis, pedih yang amat. Doktor klinik swasta cuba cuci luar dan masukkan jari tapi tak berjaya sebab melekat kuat. Inikan lagi dia cakap nak masukkan mulut itik itu. 

Katanya, "kalau yang sihat, bentuknya 'V' tetapi awak punya dah melekat."

Dia rujukkan saya ke pihak hospital, sebab kalau dia paksa, memang berdarah. Jadi malamnya saya berendam selama dua jam dalam besen dan tuang minyak baby oil dengan harapan mudah-mudahan boleh keluar. Tetapi tak boleh keluarkan. Cuma yang melekat di bahagian luar boleh tanggal, mungkin sebab dah kembang atau lembut, sebab dah rendam dengan air dan minyak sekali. 

Semalam pergi Hospital Serdang jumpa Gynea, memang doktor buat operasi korek paksa sampai berdarah dan banyak kotoran serta plastik keluar. 

"Betul ke sebiji? Kenapa ada benda asing which is plastik? Produk ini dibuat daripada apa dan before this you keluarkan jadi plastik ke?" soal doktor. 

Saya jawab tidak, hanya kotoran (seperti testimoni yang dikongsikan oleh pihak penjual).

"Ini banyak sangat dan saya cuba buat yang terbaik untuk keluarkannya," kata doktor. 

Saya? Menangis ada, menjerit pun ada, pegang nurse, gigit tudung, pegang bantal macam-macam sebab sakit. Serius saya tak beranak normal dan semuanya secara czer, jadi tak tahu cara orang kangkang macam mana, tak payah angkat punggung macam mana, memang terangkat-angkatlah punggung sikit kot sebab dia melekat dan dibuka secara paksa. Bayangkanlah sendiri. 



30 minit kemudian, doktor selesai mengeluarkan semua benda asing itu. Tengok hasilnya, memang terkejut. Kenapa ada yang jadi plastik putih macam itu, keras betul. Dalam 2-3 sentimeter panjang dan kotoran macam ketul-ketul. 

"Awak kena pantang bersama, mungkin sebulan atau mungkin sampai period akan datang sebab tisu awak rosak dah ni. Sebab benda itu melekat seperti gam di dalam.

"Saya tarik tadi susah dan dah cuba cuci sampai habis. Harap dah tak ada lagi. Dan jangan masukkan apa-apa lagi, kalau nak ambil ubat keputihan pun selepas period akan datang," pesan doktor. 

Malah doktor turut berpesan untuk maklumkan kepada semua, sesiapa yang mahu menggunakan produk ini, sila berhenti segera dan berhati-hati. Sampai hari ini, saya nak buang air kecil pun menggigil-gigil menahan pedih sebab sakit. 

Sumber: Nor Suriani

Di bawah pula, pandangan beberapa individu mengenai produk jamu berkenaan.




Golongan wanita dinasihatkan berhati-hati bila mengambil/menggunakan sebarang produk kecantikan yang dijual di pasaran/online. Pastikan produk yang ingin dibeli diiktiraf dan mempunyai kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia untuk jaminan keselamatan pengguna.
'Nak berjalan tak boleh, kalah orang dalam pantang, sakit tahap maksima!' - Menderita akibat guna jamu disumbat dalam lubang kemaluan 'Nak berjalan tak boleh, kalah orang dalam pantang, sakit tahap maksima!' - Menderita akibat guna jamu disumbat dalam lubang kemaluan Reviewed by Editor on 9:35 AM Rating: 5