'3 tahun lalu murid koma disebabkan benda ini, sekarang dijual semula secara berleluasa di luar sekolah'


Kebimbangan seorang guru mengenai pistol air yang disyaki mengandungi bahan-bahan makanan yang tidak selamat untuk anak-anak, mencetus pelbagai reaksi netizen khususnya golongan ibu bapa. Dalam catatan Cikgu Mohd Fadli Salleh di Facebooknya sebentar tadi mendedahkan, beliau telah merampas sejumlah besar pistol air milik muridnya dari tiga buah kelas.

Difahamkan, pistol air yang mengandungi cecair manisan itu dibeli dengan harga RM1 untuk dua unit.

Bimbang kejadian yang menyebabkan anak muridnya jatuh sakit dan koma berulang kembali, guru berkenaan menasihatkan penjaga atau penjaga berhati-hati dan menasihatkan anak masing-masing untuk tidak membeli pistol air tersebut. Malah turut meminta peniaga di luar sekolah tidak menjual produk berkenaan.

INI SERIUS. Gambar ini, gambar mainan. Tetapi artikel ini bukan main-main. Kau baca elok-elok dan ambil pengajaran.

Ini sejumlah hasil rampasan 'perang' hari ini. Ini baru rampas dari tiga buah kelas. Sesi petang sekolah aku ada 12 kelas semuanya. Memang berguni-guni aku rampas tadi. Ini bukan pistol air yang biasa, yang ini sangat bahaya. Apa yang bahayanya?
  1. Air di dalamnya itu. Pistol ini bila dibeli ada air manis, masin dan masam. Bergantung pada warna pistol kau beli.
  2. Air itu aku sangat ragui banyak hal. Pertama sekali, banyak sangat bahan kimia. Lupa aku nak snap dekat-dekat apa 'ingredients' air itu.
  3. Selepas itu, logo halal dia memang cap ayamlah. Halal betul atau haram, entahlah. Tetapi aku syak logo halal itu tipu.
  4. Tiada tarikh luput. Barang makanan mesti ada tarikh luput, kan? Yang ini 'yilekk'. Beli hari ini, 7 tahun lagi kau nak minum pun boleh.
  5. Tiada tercatat alamat dan pengilang pistol air ini. Misteri sungguh pengilang ini. Kau tak sangsi? Kalau disebabkan air ini ada murid keracunan, bahkan membawa maut, siapa kita nak persalahkan? Nak saman siapa?

Baik, kau dengar sini. Dua atau tiga tahun lepas, murid aku umur lapan tahun tidak sedarkan diri berhari-hari. Senang kata, koma. Puas doktor mencari punca, setelah kajian dibuat, mereka percaya punca utama adalah dari air minuman jenis 'spray' dalam mulut.

Hal ini aku pernah berkongsi dua atau tiga tahun lepas di wall Facebook aku. Dapat beribu share jugalah sebab benda itu tengah viral dan budak-budak suka. Lagipun harganya murah, sekitar 50 sen hingga seringgit sahaja.

Kandungan air yang tidak tahu bila lagi dibuat, bahan kimia di dalam air, bahan kimia pada bekas plastik yang rendah kualiti, spring untuk sembur air yang berkarat dan bakteria-bakteria jahat yang banyak dalam minuman air jenis 'spray' itu dipercayai meracuni sistem badan murid aku dulu.

Aku nak ulas lanjut pasal keracunan pun, bukan bidang aku. Nanti nampak sangat aku buat-buat bijak, padahal jahil dalam bab ini. Jadi aku cuma tulis apa yang disampaikan pada aku dulu dan tulis semula.

Hari ini aku kesan pistol air pula dijual di luar pagar sekolah. Harganya cukup murah, RM1 untuk dua pistol air ini. Memang murid mampu belilah. Pistol itu tiada masalah kalau diisi air dan buat main tembak-tembak. Yang jadi masalah ialah 'air minuman' dalam pistol itu. Murid beli dan tembak dalam mulut untuk merasai air itu. Itu yang bahaya. Itu yang boleh mengundang maut jika silap gaya.


Peniaga di luar pagar ini, pihak sekolah tak boleh halau. Luar pagar sekolah beb, bukan bidang kuasa guru. Aku cuma boleh pesan pada murid supaya tidak membeli di luar pagar sekolah. Itu sahaja. Mereka peniaga pun tak tahu juga benda ini bahaya. Esok aku akan jumpa peniaga di luar sekolah aku dan slow talk suruh dia jangan jual lagi benda ini.

Stok yang ada aku nak borong semua dengan dia. Yelah, takkan nak suruh dia buang begitu saja, kan? Kena fikir periuk nasi orang juga. Peniaga luar pagar pun bukan orang senang juga. Harap mereka bagi harga modal sudahlah pada aku esok.

Kalau kau jumpa pistol seperti ini, tolong pesan pada peniaga jangan jual lagi. Kalau kau ada duit, kau borong semua. Lepas itu kau isi air paip, kau juallah semula. Dapatlah modal kau balik. Silap-silap untung lagi.  Buat main tembak-tembak cukuplah. Jangan bagi budak-budak minum. Tambah-tambah anak-anak kita.

Dan aku tak kata kandungan air itu boleh membawa maut. Nanti tak pasal-pasal aku kena saman. Tapi aku sangsi dan sangat meragui kandungannya. Lagipun kes beberapa tahun lalu masih terbayang di mata aku. Mujur murid aku akhirnya stabil setelah beberapa hari. 3-4 minggu jugalah dia cuti disebabkan kes ini.

Sebelum benda sama berulang, baik kita beringat. Sebelum ada kejadian yang bakal kita kesali datang lagi, baik kita hati-hati. Sama-sama kita berpesan.

Sumber: Cikgu Mohd Fadli Salleh

Berdasarkan beberapa komen di ruangan status Facebook guru berkenaan, ada ibu bapa yang mendedahkan anak-anak mereka juga ada membeli pistol air tersebut yang dibeli di luar sekolah.





Justeru, netizen meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku pada murid-murid sekolah. 
'3 tahun lalu murid koma disebabkan benda ini, sekarang dijual semula secara berleluasa di luar sekolah' '3 tahun lalu murid koma disebabkan benda ini, sekarang dijual semula secara berleluasa di luar sekolah' Reviewed by Editor on 10:32 PM Rating: 5