5 kali ditikam peragut


BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG - Seorang lelaki cedera ditikam peragut yang cuba meragutnya di hadapan sebuah pasar raya berdekatan Alma, petang semalam. 

Dalam kejadian jam 5.55 petang di Jalan Alma, mangsa berusia 40 tahun diekori oleh suspek lelaki yang berusia 19 tahun sebelum diserang dan dicedera menggunakan pisau.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, kejadian itu disedari sepasang suami isteri yang kemudian memberi bantuan, bersama dengan orang awam yang menyaksikan kejadian itu.


"Menurut saksi kejadian, suspek yang bersenjatakan pisau bertindak mengejar mangsa dari hadapan sebuah pasar raya sehingga ke medan selera dan menjerit meminta tolong. 

"Mangsa luka selepas ditikam di atas dada kiri, belakang badan dan bahu kiri. 

"Orang awam kemudian memberkas remaja itu dan mengikat tangan suspek sebelum diserahkan kepada polis," katanya. 






Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan dan terdapat tiga kesan tikaman di bahagian belakang badan dan dua kesan tikaman di bahagian dada kiri serta bahu mangsa. Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. 

Polis telah menahan suspek dan juga turut merampas sebilah pisau yang digunakan untuk menikam mangsa. Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis SPT untuk disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sumber: Berita Harian, Bernama
5 kali ditikam peragut 5 kali ditikam peragut Reviewed by Editor on 9:53 AM Rating: 5