Dirantai dan dikurung kerana degil dan ponteng sekolah


KUANTAN, PAHANG - Gambar seorang kanak-kanak lelaki diikat dengan rantai besi pada tong gas memasak, dipercayai didera oleh bapanya, viral di media sosial.

Difahamkan, kanak-kanak lelaki itu ditemui oleh orang awam pada pagi semalam dalam keadaan lehernya diikat dengan rantai besi dan dikurung dalam rumahnya sebelum menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

"Pada jam kira-kira 9/.45 pagi, polis tiba di lokasi kejadian dan telah cuba mengetuk pintu rumah namun tiada sesiapa yang membuka pintu.

"Pemeriksaan di tingkap belakang menemui seorang kanak-kanak lelaki terbaring di tepi tong gas berwarna hijau dengan lehernya diikat dengan rantai besi," kata sumber.


Pihak polis kemudian memecah masuk ke dalam rumah tersebut dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Walaupun telah dikejutkan beberapa kali, tetapi tiada sebarang respon dari mangsa.



Rantai di leher mangsa yang dikunci dengan selak mangga kemudian dipotong sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan segera.

Susulan kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 32 tahun, bapa kepada mangsa, untuk membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati, suspek mengaku telah merantai anaknya dengan rantai besi kerana mangsa degil dan ponteng sekolah.