'Ini kali ketiga kami berhadapan penipuan sebegini' - Pelanggan kesal pasar raya letak harga yang mengelirukan


Bukan mahu memburukkan mana-mana pasar raya, tetapi pihak berkenaan wajib memandang serius pada aduan yang telah dibuat oleh pelanggan sama ada secara 'terus' atau di media sosial. Baru-baru ini, Ruzniza Mohammad, meluahkan rasa kesalnya terhadap pasar raya Giant di Prima Saujana Kajang, yang didakwanya telah meletakkan harga promosi pada beberapa barangan yang dijual. Namun apabila mahu membuat bayaran, harga barangan yang mahu dibeli itu pula tiada diskaun (harga promosi) seperti yang dinyatakan. 

Bayangkan jika ramai pelanggan yang mengambil mudah akan perkara ini, entah berapa ramai yang dianiaya kerana harga di rak jualan (+ promosi) tidak sama dengan harga di kaunter bayaran. Semoga aduan ini mendapat perhatian pihak pasar raya berkenaan dan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memeriksa resit bayaran sebelum keluar dari pasar raya. 

MALAM (24 September 2017) tadi kami sekeluarga pergi membeli belah di pasar raya Giant di Prima Saujana Kajang. Ada banyak barang yang diletak harga promosi. Antaranya ialah Sos Cili Life dan Maggi Cup.

Sos Cili Life untuk dua hotol, harganya RM8.49 (harga asal RM4.99 sebotol) dan Maggi Cup pula RM7.99 (harga asal RM9.80). Namun begitu, apabila kami membuat pembayaran di kaunter bayaran, tiada diskaun bagi kedua-dua barang ini menyebabkan kami mempertikaikan harga itu pada juruwang yang bertugas. 

Juruwang itu kemudian memanggil penyelianya dan kami jelaskan apa yang berlaku dan tunjukkan gambar harga promosi barangan tersebut di telefon kami. Mungkin beliau mahu mengesahkan maklumat tersebut, beliau telah pergi ke tempat barangan itu dan mengambil kertas yang ditulis harga promosi dan memasukkan kod baru bagi kedua-dua barangan tadi mengikut harga promosi, dengan wajahnya yang tidak berpuas hati dengan kami. 



Walaupun terbukti yang Giant ini menipu pelanggannya, tetapi penyelia berkenaan tidak pula meminta maaf atau  memberi sebarang penjelasan. Sebaliknya beliau hanya datang dan menekan mesin di kaunter dan berkata, "Okay, harga dah sama dengan harga promosi" dan berlalu pergi begitu sahaja. 

Ini merupakan kali ketiga kami terkena dengan penipuan sebegini untuk tahun ini. Sebelum ini pasar raya ini juga melakukan perkara yang sama terhadap dua barang yang kami beli iaitu beras dan juga Maggie. Selepas bertekak dengan mereka, barulah kami mendapat harga promosi seperti yang dipamerkan.

Berbalik kepada kes ini tadi, bayangkan sudah dua hari mereka telah menipu orang ramai yang membeli dua barangan ini dan sudah berapa ratus ringgit mereka telah ambil daripada pelanggan? Malah mungkin sudah mencecah ribuan ringgit. Itu baru daripada dua barang ini, barang-barang promosi yang lain kami tidak tahu kerana kami tidak membelinya. 

Oleh itu saya nasihatkan kepada semua orang ramai, jika anda membeli barangan yang dijual dengan harga promosi di pasar raya, sila semak harganya dengan betul dan pastikan harga bayaran yang tertera di resit bayaran saman dengan harga promosi. Jangan main bayar atau terus jalan tanpa memeriksa resit bayaran. 

Begitu juga kepada pihak yang berwajib, rajinkanlah diri membuat pemeriksaan mengejut bagi memastikan orang ramai tidak ditipu dan dianiaya oleh peniaga-peniaga yang tamak dan tidak bertanggungjawab ini. 

'Ini kali ketiga kami berhadapan penipuan sebegini' - Pelanggan kesal pasar raya letak harga yang mengelirukan 'Ini kali ketiga kami berhadapan penipuan sebegini' - Pelanggan kesal pasar raya letak harga yang mengelirukan Reviewed by Editor on 12:31 PM Rating: 5