Isteri ugut cerai kerana tidak tahan ditumbuk dan ditendang suaminya yang selalu mengigau


TAICHUNG, TAIWAN - Tidak tahan menjadi mangsa pukul suaminya yang kerap mengigau bergaduh di waktu malam, wanita berusia 60 tahun yang dikenali sebagai Wu, hampir bercerai. 

Menurut Wu, dia telah berkahwin dengan suaminya hampir 30 tahun, tetapi lelaki itu mula mengigau ketika tidur kira-kira 10 tahun yang lalu. 

Jelas Wu, pada awalnya suami dia hanya bercakap ketika tidur. Namun sejak beberapa tahun ini dia sering menumbuk dan menendang seperti bergaduh. Sehingga pada satu tahap, Wu juga pernah memfailkan aduan keganasan rumahtangga terhadap suaminya kerana sering ditumbuk dan ditendang lelaki itu ketika tidur. 

Bagaimanapun, selepas pasangan itu berbincang, lelaki itu bersetuju untuk mendapatkan rawatan di Hospital Besar Kuang Tian. 

Doktor Yang Chun-bei yang bertanggungjawab merawatnya berkata, lelaki itu mengalami satu keadaan yang dikenali sebagai gangguan perilaku tidur gerak-mata cepat (REM) yang menyebabkannya membuat pergerakan fizikal seperti di dalam mimpinya daripada membiarkan ia bermain di minda seperti manusia normal. 


Keadaan pelik itu hanya berlaku ketika fasa tidur nyenyak REM, iaitu apabila mimpi berlaku. Lelaki itu juga tidur di pusat kajian tidur di hospital berkenaan yang mana aksinya menumbuk dan menendang ketika tidur turut dirakam kamera. 


"Ini adalah tanda klasik gangguan perilaku tidur REM dan ia sebenarnya boleh dirawat dengan bantuan ubatan. 

"Pesakit itu kini menjalani satu rawatan yang membantu menyelamatkan perkahwinan dan hubungan dengan isterinya," katanya. 

Menurut kajian, pesakit yang mengalami masalah itu jarang mencederakan diri mereka. Sebaliknya sering memberi kesan kepada sesiapa yang tidur di sebelahnya. 

Sumber: Harian Metro
Isteri ugut cerai kerana tidak tahan ditumbuk dan ditendang suaminya yang selalu mengigau Isteri ugut cerai kerana tidak tahan ditumbuk dan ditendang suaminya yang selalu mengigau Reviewed by Editor on 8:56 AM Rating: 5