Kanak-kanak 2 tahun dilanggar dan digilis kereta SUV


HENAN, CHINA - Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang kanak-kanak lelaki dilanggar dan digilis sebuah kereta jenis SUV, viral di media sosial, lapor Shanghaiist.

Dalam kejadian 8 Oktober lalu, video rakaman CCTV menunjukkan mangsa berumur dua tahun berkeliaran di kawasan tempat letak kereta seorang diri. 

Menyedari kedatangan sebuah kereta, mangsa cuba mengelak berada di laluan kenderaan itu, malangnya tidak sempat dan dia dilanggar sebelum terjatuh lalu digilis tayar depan dan belakang kereta itu. 

Apa yang mengejutkan, selepas kejadian itu, mangsa terus berdiri dan berlari ke rumahnya. 



Dalam temubual bersama media, ibu mangsa berkata, ketika kejadian itu, dia meninggalkan anaknya bersendirian lebih kurang satu minit sementara dia pergi mengambil kunci untuk mengunci pintu rumahnya. 

Apabila dia melihat anaknya yang berlari meluru ke arahnya dalam keadaan menangis, dia menyangka mangsa terjatuh atau tergelincir. 

Selepas menonton semula video rakaman CCTV yang menunjukkan anaknya dilanggar, alangkah terkejutnya wanita itu dan bagaikan tidak percaya yang anaknya masih hidup selepas digilis kereta tersebut. 


Mangsa kemudian dibawa pergi ke hospital dan doktor yang memeriksa mangsa berkata, tiada sebarang kecederaan serius pada anaknya. 

Sementara itu, pemandu kereta SUV itu telah ditangkap dan polis sedang menyiasat kes tersebut.