Kanak-kanak parah terjatuh dari tingkat lima


GEORGE TOWN, PULAU PINANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera parah selepas terjatuh dari tingkat lima kediamannya, semalam, lapor mStar Online. 

Dalam kejadian jam 1.30 petang di Flat Desa Relau 1, mangsa, N. Keshvin, 5, dipercayai cuba memanjat tingkap untuk mengalihkan basikalnya yang tersangkut di ampaian. 

Timbalan Ketua Polis Daerah (1) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Izwan Abdul Karim, berkata, mangsa dilaporkan membuka jeriji tingkap bilik itu dan membuang basikal melalui tingkap tersebut. 

"Basikal yang dibuang dari tingkap itu bagaimanapun tersangkut di amapian dan mangsa cuba memanjat tingkap untuk mengalihkan basikal itu. 

'Ketika kejadian itu, ibu mangsa keluar untuk mengambil anak keduanya berusia enam tahun di sebuah tadika di Sungai Ara dan meninggalkan anak bongsu dari tiga beradik itu bersendirian di rumah kerana sedang tidur di bilik utama," katanya. 







Malang tak berbau, mangsa terjatuh dari tingkat lima dan penduduk flat menemui mangsa di kawasan tempat meletak kereta sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut. 

"Ibu mangsa hanya mengetahui kejadian itu daripada jiran menghubunginya. Menurut ibunya, Keshvin seorang yang hiperaktif. 

"Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilaporkan kritikal tetapi stabil," katanya. 
Kanak-kanak parah terjatuh dari tingkat lima Kanak-kanak parah terjatuh dari tingkat lima Reviewed by Editor on 11:12 AM Rating: 5