'Lazada! Pulangkan balik duit saya!' - Pelanggan berang bayaran diterima tetapi barang tak sampai, ini penjelasan Lazada


KUALA LUMPUR - Baru-baru ini, ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan perkhidmatan sebuah laman beli belah secara online, Lazada, yang didakwa telah mengambil bayaran tetapi sehingga kini belum mendapat barang yang ditempah. 

Difahamkan, ramai pelanggan yang menghadapi masalah yang sama dan berasa diri mereka dianaiya sehingga ada segelintir dari mereka yang merancang mahu mengambil tindakan melaporkan perkara itu kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut. 

Beberapa individu yang lain pula mendedahkan, mereka cuba menghubungi pihak Lazada sama ada melalui Live Chat atau talian hotline, namun kedua-dua medium perhubungan itu tidak dapat dihubungi. 

"Please refund my money! Duit pampers anak tu. Gaji pun belum, dah advance semata-mata nak beli pampers anak. Selalunya okey, tetapi kenapa jadi begini?" kata netizen. 

"Tunggu dari 5 Oktober 2017 sampai sekarang, last-last kau (Lazada) cancel barang. Bana apakah ini? Besok aku nak langgar Lazada Hub di JB," - Md Faiz Jst. 






"Pasal apa nak Live Chat pun tak boleh? Call hotline pula sampai nak dekat 40 kali, asyik tak dapat saja. Melawak kasar nampak? Janganlah buat lawak macam ini pada pelanggan. Kasihan kami, duit kena potong, barang tak sampai, nak chat tak boleh, call hotline tak dapat. Mesej di Facebook, buat tak tahu." - Khamarul Khairudin. 

Sementara itu, laman Facebook rasmi Lazada semalam mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan memaklumkan sistem mereka mengalami masalah. 

Difahamkan, sejak beberapa minggu yang lalu, Lazada telah menaik taraf servers dan sistemnya bagi meningkatkan platform mereka untuk memudahkan pelanggan bagi kempen 11.11. Malangnya telah berlaku gangguan perkhidmatan yang tidak diingini. 

Ekoran kejadian itu, Lazada memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku dan sedang mengenalpasti mana-mana pelanggan yang terjejas disebabkan gangguan tersebut serta memberi jaminan akan menyelesaikan masalah berkenaan. 


Menurut kakitangan dari bahagian Order Management Lazada, Az Lan, mereka sedang dalam proses untuk meneliti semua pesanan yang bermasalah dan proses pemulangan wang juga sedang dilakukan secara berperingkat. 

"Kami mohon maaf di atas kesulitan ini. Jangan risau, kesemua pesanan yang didakwa tiada dalam sistem sebenarnya telah pun dapat dikenalpasti. Kami akan cuba sedaya upaya untuk memulangkan semula pembayaran secepat mungkin.

"Tiada unsur penipuan langsung. Cuma ralat pada sistem yang digunapakai ketika ini. Proses pemberitahuan juga sedang dijalankan secara berperingkat. Harap maklum, terima kasih," katanya.