'Saya mimpi ada telur jatuh dan selepas terjaga, alat sulit saya bertukar' - temberang pasangan LGBT


JEMBER, INDONESIA - "Saya benar-benar terkejut. Sebelum ini biasa sahaja tetapi kalau benar dia lelaki tulen, saya akan ceraikan dia," demikian reaksi awal si suami yang malu dan kecewa selepas mengetahui 'wanita' yang dikahwininya sejak Julai lalu sebenarnya adalah seorang lelaki, lapor Tribun Jabar.

M Fadholi, 21, berkahwin dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Ayu Puji Astutik, 23, dalam satu majlis yang meraih pada 19 Julai lalu. 

Perkahwinan mereka itu juga turut didaftarkan di Pejabat Urusan Agama (KUA) di Ajun selepas pasangan berkenaan mengemukakan borang berkahwin dan dokumen pengenalan diri. 

Difahamkan, pasangan itu tinggal bersama di Dusun Plalangan, Desa Glagahwero. Ayu juga sangat aktif dengan aktiviti kemasyarakatan termasuk sering hadir ke program yang dianjurkan oleh pihak masjid. 



Pada awal pernikahan pasangan itu, tiada apa yang mencurigakan. Bagaimanapun setelah memasuki bulan ketiga, jiran-jiran mula berasa curiga dan bertanyakan status Ayu.  Perasaan curiga itu mula timbul apabila jiran-jiran mendengar suara Ayu yang kedengaran seperti suara lelaki. Akan tetapi, Fadholi tampil menjelaskan bahawa isterinya adalah wanita yang tulen. 

Enggan berdiam diri, salah seorang jiran tampil membuat aduan kepada pihak KUA mengenai perkara itu. Pihak KUA yang terkejut dengan aduan itu, lalu membuat laporan polis untuk siasatan lanjut. 

Pasangan itu kemudian ditahan. Ketika disoal siasat, Ayu mendakwa dia sememangnya dilahirkan sebagai perempuan, namun jantinanya berubah selepas berkahwin. 

"Sumpah encik. Saya wanita asli, saya boleh membuktikannya. Saya memang sudah lama difitnah," katanya. 

Malangnya, polis tidak percaya dengan dakwaannya itu menyebabkan Ayu kemudian memberi penjelasan yang seterusnya. 

"Saya memang dilahirkan sebagai wanita, saya berani bersumpah. Tidak lama selepas berkahwin dengan Fadholi, saya bermimpi ada telur jatuh dan makhluk halus. Apabila saya terjaga, saya dapati alat sulit saya bertukar," katanya. 

Setelah puas didesak, Ayu akhirnya mengakui bahawa dia telah memalsukan kad pengenalan dirinya semata-mata untuk berkahwin dengan Fadholi. Nama sebenar Ayu adalah Syaiful Bahri. 

Dalam pengakuannya, Syaiful mengakui dia memiliki keinginan untuk membuat operasi pertukaran jantina tetapi terbantut kerana kos pembedahan itu di luar kemampuannya. 

"Setelah saya menjadi begini, saya ada keinginan untuk menukar jantina dan mahu menjadi wanita. Oleh kerana tidak berkemampuan, akhirnya saya pasrah menunggu keajaiban," katanya. 


Sementara itu dalam laporan Jatim Times, Ketua Polis Daerah Jember, AKBP Kusworo Wibowo, berkata, siasatan mendapati pasangan berkenaan terbukti sengaja memalsukan dokumen-dokumen perkahwinan. Malah pengantin perempuan mengaku dirinya anak yatim piatu sehingga menggunakan khidmat orang lain untuk menjadi wali pernikahannya. 

"Suspek yang mengaku sebagai wanita pada awalnya mengaku tidak mempunyai keluarga, tetapi siasatan mendapati keluarganya masih ada dan masih dapat dihubungi," katanya.

Ekoran pengakuan itu, Pejabat Urusan Agama kini dalam proses menyiapkan dokumen bagi membatalkan perkahwinan pasangan songsang berkenaan. 

Fadholi dan Syaiful Bahri kemudian ditahan dan akan didakwa atas perbuatan sengaja memalsukan dokumen diri, yang memperuntukkan hukuman penjara selama enam tahun. Selain itu mereka juga akan didakwa kerana membuat keterangan palsu dan bakal menerima hukuman penjara selama tujuh tahun.