'Dah tegur tapi buat lagi, takkan nak suruh polis tegur?' - Lelaki kesal dapat jiran yang tak bertimbang rasa


Hendak ditegur, takut kecil hati. Sudah ditegur, melenting dan beri alasan dari dulu parking di situ, tak ada orang bising pun. Itulah nasib yang dihadapi oleh Amar Hadi, dari Ipoh, Perak, mendapat jiran yang tak reti bertolak ansur. 

"Pening nak menghadap jiran seperti ini. Ada sesiapa boleh beri pendapat macam mana nak selesaikan masalah ini? 

"Di perkarangan depan rumah saya, jiran letak kereta dia. Memang dia dah lama duduk di kawasan ini dan saya pula baru setahun. Apabila ditegur, dia kata dah berpuluh tahun dia parking di situ, tak ada orang bising pun. 

"Bila saya parking kereta saya di depan rumah saya, dilanggarnya kereta saya semasa dia nak masuk parking. 

"Niat bukan nak bergaduh tetapi selesaikan dengan cara baik. Malangnya dia tak pernah beri kerjasama," tulisnya di Facebook pada 17 November lalu. 


Menurut Amar, dia tidak mahu memanjangkan hal ini sehingga membabitkan polis. Namun amat berharap jika jirannya memahami situasinya dan tidak mengulangi perbuatannya itu lagi. 

"Takkan nak suruh polis tegur? Agak-agaklah parking pun. Susah ada jiran seperti ini. Kalau lebih sikit, saya tak kisah. Sekarang semakin melampau-lampau. 

"Sebelum ini pernah mengamuk dan jiran tak buat lagi. Dia alihkan pasu bunga dia di depan. Dah macam apa depan rumah, macam taman bunga. Sekarang dia mengulangi semula perbuatannya. Itu yang parking rapat-rapat dan dia pergi langgar pula kereta saya dengan sengaja. Tetapi tak nak mengaku dan tak mahu meminta maaf. Sebaliknya saya pula yang meminta maaf," ujarnya. 

Amar juga kesal dengan sikap jirannya yang langsung tak menegur perbuatan saudara mara dan rakan-rakannya yang datang dan meletakkan kereta di depan rumah Amar. 

"Kadang-kadang, kawan-kawan dan saudara mara dia datang, suka sangat parking depan rumah saya. Bila dah tahu saya start enjin kereta, bukannya tak dengar, siap tanya, "Nak keluar ke dik?" Aduh!

"Sebelum ini juga dia pernah buat kenduri. Tak ajak tak kisahlah, tapi masalahnya saudara mara dia semua parking depan rumah saya," katanya. 




Menurut Amar, jika diikutkan hati, dia memang mahu mengambil tindakan sendiri, tetapi tidak mahu menjadikan hal itu dan mahu mengambil tindakan mengikut cara yang betul.

"Saya faham kereta dia besar. Nak ditegur, nanti sentap pula orang tua itu. Nanti saya juga yang dikatanya kurang ajar.  Kalau ikutkan hati, memang saya nak ambil tindakan tetapi saya tidak mahu berbuat demikian kerana negara kita ada undang-undang. 

"Sebenarnya kereta dia boleh lepas kalau dia lalu di depan rumah dia. Sekarang tak lepas disebabkan pokok bunga dia di kiri kanan depan rumahnya sampai ke bahagian luar. Itu yang menyebabkan dia kena ke belakang untuk memberi dia ruang jalan keluar masuk. Dan perkara ini juga menyusahkan saya," katanya yang tiada niat mahu viralkan perkara itu di media sosial, sebaliknya hanya mahu bertanya pendapat rakan-rakan sahaja. 

Sementara itu, netizen menasihatkan Amar membuat aduan mengenai masalah itu kepada pihak berkuasa tempatan, agar kereta jirannya itu ditarik dan dikenakan kompaun atas kesalahan parkir di tempat yang menghalang laluan keluar masuk penghuni rumah. 

Bagaimanapun, Amar masih mempertimbangkan tindakan itu kerana bimbang perkara itu akan mengeruhkan lagi keadaan.