'Dia ketuk cermin kereta aku kuat gila! Ya Allah, aku dan mak dah cuak sangat' - Mangsa


Cermin sisi keretanya dilanggar oleh seorang penunggang motosikal yang disyaki mabuk. Mangsa yang menyangka kejadian itu adalah kemalangan yang tidak disengajakan rupa-rupanya tidak. Penunggang motosikal itu bertindak memarahinya dan mendakwa kononnya mangsa yang melanggarnya sedangkan kereta mangsa pada ketika itu tidak bergerak kerana berhenti di persimpangan lampu isyarat. 

Bimbang kejadian yang lebih buruk berlaku, mangsa yang ketika itu bersama ibunya dalam kereta terus memecut laju meninggalkannya penunggang motosikal terbabit. Malangnya lelaki itu berjaya mengekori kereta mereka dan inilah yang berlaku.

CERITANYA begini. Masa itu aku berhenti, traffic light merah di depan Balai Polis Sentul. Tiba-tiba ada seorang penunggang motosikal berhenti di sebelah kereta aku (aku rasa dia mabuk sebab mata dia merah dan cara dia tunggang motosikal pun tak betul) dan terlanggar cermin sisi aku. Kemudian dia macam marah, kononnya nak tuduh aku yang melanggar dia. 

Kebetulan pula masa itu traffic light masih di lampu merah, jadi aku kena berhenti lagi. Dia datang dan block kereta aku, dia turun dari motosikal dan datang dekat lalu diketuknya cermin kereta untuk suruh aku keluar. 

Dia ketuk dengan kuat sangat, macam nak pecah cermin kereta aku. Ya Allah, aku dah cuak dan masa itu aku dengan mak dalam kereta. Mak pula dah mengelabah tengok lelaki itu. 

Masa itu pula, lampu isyarat lambat pula nak bertukar ke warna hijau. Dia dah ketuk cermin kereta kuat-kuat dan semua orang yang berada di kawasan sekitar hanya mampu tengok sahaja. 

Bila lampu isyarat bertukar hijau, aku pun apa lagi terus tekan minyak kaw-kaw. Ingatkan lelaki itu tak ikut dah, tengok di cermin, dia ada di belakang kereta. 

Aku tanya mak nak lalu mana, balai terdekat di mana, nak buat apa. Kemudina mak suruh aku lalu Jalan Kuching dan aku pun ikut saja katanya. Sekali jalan sesak pula. 

Kemudian di tengah lebuhraya itu dia memotong dan menghalang kereta aku dan kali ini dia tak bagi peluang untuk aku teruskan perjalanan. Dia suruh aku berhenti di tepi. 

Aku pun cuak, aku suruh mak call kawan-kawan aku tetapi mak dah kelam kabut, semua benda dia tak boleh buat (aku pun sama). Tak apalah, dah berhenti tepi, aku dah pegang pepper spray sebagai langkah berjaga-jaga. Kemudian call kawan aku dan beritahu apa yang berlaku. Sekurang-kurangnya ada orang tahu kan, tak apalah beritahu semua kejadian itu. Itu saja yang aku boleh fikir pada masa itu. 

Lelaki itu turun dari motosikal dan ketuk cermin kereta aku dengan kuat, sumpah macam nak pecah dibuatnya. Aku tak tahu nak fikir apa dah. Mak kata jangan buka, memang aku takkan bukalah bila tengok orang macam ini, muka macam baru lepas kalah judi. 

Dalam masa yang sama aku ternampak ada seorang penunggang motosikal berhenti di tepi jalan dan memandang kami. Aku pun pandu ke depan sikit untuk dekat dengan dia sebab dia ada semasa lelaki mabuk itu mengekori kami dan dia marah-marah orang itu atas jalan. 

Bila aku berhenti dekat dengan dia, dia pun tanya kenapa dengan semua ini dan apa yang berlaku. Tiba-tiba lelaki mabuk itu terus beredar. Ya Allah Alhamdulillah! 

Kemudian aku buka tingkap sikit sebab nak ucap terima kasih kepada dia. Rupanya dia nampak kami sejak kejadian di lampu isyarat itu. Dia juga mengekori kami dari jauh dan nak lihat apa yang lelaki mabuk itu nak lakukan pada kami. 

Bersyukur sangat sebab ada orang yang nak menolong kami pada masa itu. Kalau tak, aku tak tahulah nak buat apa. Bila dah cemas begitu, memang tak boleh nak fikir apa dah. Tak tahulah kalau ini memang taktik dia atau apa. Tetapi jika mengikut pengalaman, ini memang cara orang sekarang nak rompak, buat-buat langgar kemudian suruh pemandunya keluar. 


Golongan wanita, tolong berjaga-jaga dan berhati-hati. Bila ada orang ketuk cermin kereta, jangan buka. Betullah orang kata pepper spray itu sangat penting. Tolong dapatkan satu untuk diri sendiri sebagai alat untuk mempertahankan diri. Sebab bila dah melalui kejadian itu, aku tak ada apa-apa benda yang hendak digunakan untuk melindungi diri selain pepper spray yang aku bawa selalu itu. 

Sumber: Farina