JPJ guna kamera untuk rakam gambar pemandu guna telefon bimbit, denda RM300


Bagi pemandu yang gemar menggunakan telefon bimbit ketika memandu, anda mungkin mahu berhenti dari terus berbuat demikian kerana akan ada 'mata' yang memerhatikan anda, lapor The Star.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemand yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu. 

Anggota JPJ akan dikerahkan untuk merakam pemandu yang melakukan kesalahan itu dengan menggunakan dua jenis kamera iaitu statik dan mudah alih, dan mereka yang didapati melakukan kesalahan itu akan dikenakan denda RM300. 

"Kami melarang pemandu menggunakan telefon bimbit mereka ketika memandu di jalan raya. Sudah banyak nasihat yang kami telah berikan, tetapi masih ramai yang berbuat demikian," katanya. 

Liow menjelaskan tindakan tegas itu perlu diambil bagi mengurangkan jumlah kemalangan yang disebabkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu. Bagaimanapun, penggunaan aplikasi navigasi seperti Waze adalah dibenarkan. Namun telefon bimbit perlu diletakkan pada pemegang telefon. 

Penggunaan telefon bimbit oleh pemandu adalah salah satu daripada 20 kesalahan yang akan dimasukkan ke dalam Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), gabungan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan sistem mata demerit. 

"Kadar kemalangan sangat tinggi. Sebanyak 5,310 kematian yang dicatatkan sejak Januari hingga September tahun ini. Manakala bagi tahun lalu, sebanyak 7,152 kematian yang dicatatkan. 

"Kami mahu mengurangkan angka ini sebanyak 10% setiap tahun dan ia benar-benar mencabar," katanya. 

Liow berkata, matlamat utama pihaknya melaksanakan penguatkuasaan itu dengan ketat adalah untuk menyelamatkan nyawa, bukannya bertujuan menghukum pengguna jalan raya. 

"Sekiranya tiada sesiapa yang melanggar peraturan, jalan raya akan lebih selamat untuk semua orang," katanya. 


Sementara  itu di media sosial, netizen bersetuju dengan penguatkuasaan itu kerana semakin ramai pemandu yang berbuat demikian sehingga mendatangkan masalah kepada pengguna jalan raya yang lain. 

"This one I agree. Kalau nampak kereta slow di lane kanan terhuyung-hayang, drive kiri kanan, orang bagi high beam pun buat tak tahu, 9 out of 10 confirm main telefon," kata Muslim.