Muka bengkak, merah dan gatal selepas guna produk kecantikan yang dibeli secara online


MELAKA - Seorang wanita mengalami bengkak di bahagian mukanya selepas menggunakan produk kecantikan yang dibeli secara online, minggu lalu, lapor Sinar Harian. 

Mastura Abu Bakar, 36, berkata, dia telah menggunakan produk tersebut beberapa kali tahun ini, namun minggu lalu dia membeli produk sama dari seorang pelajar kolej yang menjualnya dengan harga RM50. Bagaimanapun selepas menggunakan produk itu, kulit mukanya bukan sahaja mengalami kepedihan, malah bertukar menjadi kemerahan dan gatal-gatal. 

Lebih teruk lagi, pipinya membengkak dan matanya sukar dibuka sehingga menyebabkan aktiviti sehariannya termasuk tidur juga  terganggu akibat kesan sampingan produk berkenaan. 

"Sebelum ini saya pernah beberapa kali menggunakan produk yang sama dan nampak perubahan kulit wajah semakin cantik dan licin. Tetapi bila guna produk yang baru dibeli sejak Khamis lalu, muka saya mula membengkak dan terasa pedih serta sakit pada hari Sabtu," katanya. 

Ekoran kejadian itu, Mastura terpaksa membatalkan percutiannya bersama rakan-rakannya yang telah dirancang sebelum ini kerana tidak dapat menahan kesakitan yang dialami. 

"Disebabkan tak tahan sakit, saya terus pergi ke klinik kesihatan berdekatan dengan rumah dan diberi beberapa ubat. Esok (hari ini) saya akan dirujuk ke pakar kulit di Hospital Melaka pula.

"Apa yang saya lalui ini membuatkan saya menjadi serik, trauma dan takut untuk menggunakan produk kecantikan lagi. Saya harap bengkak ini akan susut dan tidak sanggup lagi terus menerus menahan sakit sejak beberapa hari lalu," katanya. 

Mastura yang bekerja sebagai pembantu butik pakaian di Dataran Pahlawan berharap, kisahnya itu dapat menjadi iktibar kepada orang lain agar tidak terlalu taasub untuk kelihatan cantik sehingga terpaksa menanggung malu dan kesakitan. 

Sementara itu, Doktor Perubatan Estetik, Dr Aidil Azry Datuk Mokhtar berkata, kebanyakan produk yang memberi kesan cepat seperti produk pencerahan wajah mengandungi bahan seperti raksa, hyrouinone, tretinoin, asid azleaik dan betamethasone. 

Bahan-bahan berkenaan boleh menyebabkan kulit menjadi semakin nipis, kemerahan, sensiti dan mudah terdedah kepada penyakit lain termasuk kanser kulit. 

"Saya nasihatkan pengguna lebih berhati-hati dalam memilih produk kecantikan. Jangan mudah terperdaya dengan produk yang cepat memberikan kesan pencerahan sehingga mengalami pengelupasan kulit yang teruk. 

"Ini juga akan menyebabkan kulit semakin nipis, sedangkan kecantikan itu hanya sementara sahaja. Namun akan didatangi masalah lain seperti jeragat serta jerawat yang tidak boleh dikawal dengan antibiotik biasa. Selain itu, ia mudah terdedah kepada sinar UVA dan berisiko mendapat kanser kulit," katanya.