Pelajar tingkatan 3 dibelasah 10 pelajar lain sehingga mengalami kesukaran untuk buang air kecil


Seorang pelajar tingkatan tiga mengalami kesukaran untuk membuang air kecil selepas dipukul sekumpulan pelajar dalam kejadian buli awal bulan November, lapor Sinar Harian. 

Mangsa, 13, berada dalam keadaan lemah dengan kesan luka di mata kiri selepas dibelasah 10 rakan sebaya di bilik asrama sekolah tersebut. 

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada jam 10.30 malam 4 November, didalangi oleh seorang pelajar senior tingkatan lima selepas mangsa dikatakan mengaku mencuri wang milik rakannya di tiga bilik berasingan.

Mangsa diminta menghadiri perjumpaan kelas di sebuah bilik gelap sebelum matanya diikat dengan kain pelikat dan tangannya dipegang oleh seorang pelajar. 

Mangsa kemudian dipukul bertubi-tubi oleh semua pelajar terlibat, sebelum diselamatkan oleh rakan baiknya yang membawa dia berehat di bilik lain.  

Ibu mangsa hanya menyedari keadaan anaknya ketika datang melawat pada 5 November lalu. Bimbang melihat kecederaan anaknya itu, mangsa dibawa ke klinik kesihatan berhampiran dan pemeriksaan mendapati terdapat banyak kesan lebam dan calar di seluruh badan mangsa. 

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Changkat Melintang selepas mengadu sakit di bahagian perut dan riujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. 

Doktor yang merawatnya mengesahkan mangsa mengalami kesukaran untuk membuang air kecil akibat kejadian itu. 

Ekoran kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan polis pada 8 November untuk tindakan lanjut pihak polis. 


Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal ABdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan telah menahan 10 pelajar berusia 15 tahun dan seorang berusia 17 tahun. 

"Berdasarkan laporan hospital mendapati tiada kecederaan dalaman. Mangsa masih ditempatkan di HRPB dan keadaannya bertambah pulih. 

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya. 

Difahamkan kejadian buli itu merupakan kejadian yang berlaku di sekolah berkenaan.