Surirumah dibelasah dan dibotakkan kerana disyaki punyai hubungan sulit dengan lelaki lain


Bukan saja dipukul, malah kepalanya turut dibotakkan oleh suami yang mengesyaki dia mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. 

Mangsa yang merupakan surirumah sepenuh masa berumur 32 tahun, tinggal di Taman Kluang Setia, Johor, dipukul sehingga lebam di muka, kepala dan tangan oleh suaminya tanpa belas kasihan. 

Ketua Polis Kluang, ACP Mohamad Laham berkata, pada awalnya mangsa menghubungi bapanya, 63, yang tinggal di Petaling Jaya dan memberitahu mahu pulang ke rumahnya tanpa mendedahkan apa sebenarnya yang telah berlaku 

Bapa mangsa hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak perempuannya itu selepas menerima gambar yang dikirim oleh besannya melalui aplikasi WhatsApp.. 

"Lebih kurang jam 8.30 pagi, bapa mangsa telah menerima gambar anaknya melalui aplikasi WhatsApp yang dihantar oleh besannya. Bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu teksi kemudian cuba menghubungi anaknya, tetapi gagal sebelum membuat laporan polis," katanya. 

Bertindak di atas laporan, polis telah menahan suspek berumur 32 tahun, bekerja sebagai kontraktor dan direman sehingga 18 November. 

Siasatan awal mendapati motif kejadian suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain lalu memukul dan mencukur kepala mangsa sehingga botak.

"Suspek memukul kepala dan muka isterinya menggunakan tangan. Mangsa cuba menghentikan suaminya, tetapi berakhir dengan lebam dan bengkak di muka sebelum suspek mencukur kepalanya sehingga botak," katanya. 

Mangsa kemudian diselamatkan oleh ibu mertuanya dan meminta mangsa membuat laporan polis terhadap anak lelakinya itu. Malah, ibu mertua meminta mangsa mendapatkan rawatan di hospital, namun mangsa menolak untuk berbuat demikian.

Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.