'Bila doktor kata tak dapat buat apa-apa, baru menitis air mata' - Wanita ini kongsi pengalaman hidap Bellpalsy dan cara merawatnya

Loading...

"Ini ujian dari Allah Taala, saya reda," demikian kata Abaya Fiona yang menghidap Bellpalsy atau lumpuh sebelah muka sehingga menyebabkan ada sebahagian wajahnya tidak berfungsi seperti biasa. 

Meskipun doktor memaklumkan tiada apa-apa yang boleh dilakukan, namun Fiona tidak berputus asa dan yakin dia akan pulih kembali seperti biasa dengan beberapa langkah rawatan yang disarankan doktor dan juga rawatan secara tradisional. 

Berita baiknya, hasil usaha dan semangatnya untuk sembuh dari penyakit itu, dia kini pulih 60%. Alhamdulillah. 

Semoga perkongsian dari Abaya Fiona ini memberi manfaat kepada semua. 

BELLPALSY (LUMPUH SEBELAH MUKA)

Fiona rasa malu nak kongsi gambar, tetapi memandangkan ramai kawan-kawan yang tak kira umur dah kena strok di usia muda, Fiona nak kongsi punca dan cara rawatan strok. Fiona anggap ini ujian dari Allah Taala. Fiona reda, tak perlu malu. Mungkin perkongsian ini dapat membantu orang lain yang senasib dengan Fiona.

PUNCA YANG BOLEH MENYEBABKAN BELLPALSY

  1. Demam berpanjangan lebih dari seminggu
  2. Darah tinggi
  3. Stress 
  4. Tak cukup rehat
  5. Banyak berfikir
  6. Kolestrol tinggi
  7. Sakit dalam perut

Jangan pandang rendah dengan demam. Jika anda demam lebih dari seminggu, sila rujuk ke hospital kerana dikhuatiri darah anda akan dijangkiti bakteria dan ini akan memudahkan lagi anda untuk mendapat strok.

TEMPOH MASA UNTUK SEMBUH
  1. Doktor cakap enam bulan, bukan satu tahun 
  2. Kawan-kawan yang dah kena, ada yang setahun masih belum sembuh. Jangan sedih atau berputus asa, kena kuat sayang semua.

USIA YANG BOLEH MENGHIDAP BELLPALSY
  1. Tidak ada had usia, paling muda setakat ini umur enam tahun sebab obes. 

CARA RAWATAN
  1. Turunkan panas badan dan darah tinggi secepat mungkin 
  2. Ambil ubat hospital cuma seminggu
  3. Terus berurut traditional saraf secara kampung dalam tempoh 2/3 kena, jangan tunggu lama-lama. Nanti saraf dah keras, susah nak betulkan semula.
  4. Mulut tu banyakkan selawat zikir buka mulut tu. Doktor akan suruh exercise sebut A E I O U. Kita percaya pada Allah, kita banyakkan sebut Allah di mulut. 
  5. Senaman lidah nanti, Fiona akan buat video tunjuk senaman yang betul.
  6. Simpan Allah dalam hati, Allah jaga kita sampai mati
  7. Kuat, kuat, kuat. Fiona sangat kuat. Kekuatan dalaman lagi kuat dari kekuatan fizikal. Faham ni.  

KESAN
  1. Mata tak dapat pejam
  2. Mulut herot
  3. Sukar bercakap makan minum
  4. Penglihatan Fiona dah kabur
  5. Pendengaran kurang
  6. Saraf tak dapat lagi merasa deria



Sesungguhnya Fiona tak pernah kesali dengan apa yang terjadi. Tidak sedih walaupun sedikit. Suami banyak bagi sokongan mendorong Fiona menjadi semakin kuat. Cuma bila doktor kata dia tak dapat buat apa-apa, Fiona mungkin akan begini dalam tempoh setahun, baru menitis sedikit air mata. Tapi Fiona berazam pada diri sendiri, 'aku kena kuat, aku kena sembuh cepat.'

Alhamdulillah sekarang tak sampai dua minggu, Fiona dah 60% sembuh. Ini semua kuasa Allah taala. Mata pun dah dapat pejam, mulut dah tak herot sangat, cuma minum air masih meleleh dan juga pergi berubat pada tempat yang betul. 

Toksah pergi jumpa tok bomoh tipu semua itu. Nanti boleh check dekat wall Abaya Fiona akan share tempat urutan saraf.

Sumber: Abaya Fiona