Denda murid bermasalah, Cikgu Azizan didakwa di mahkamah


Seorang warga pendidik akan menghadapi perbicaraan kes mencederakan muridnya di Mahkamah Majistret Seremban, Selasa ini, lapor Harian Metro. 

Cikgu Azizan, Penolong Kanan HEM SK Taman Semarak, berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit bersalah. 

Difahamkan, Cikgu Azizan ditahan selepas dipercayai mendenda muridnya kerana kesalahan menghidu gam dan mempengaruhi rakan, buli, memukul murid serta ponteng sekolah. 

"Tindakan tegas cikgu berkenaan kerana disiplin yang berat dan berulang-ulang seperti menghidu gam di dalam sekolah, bergaduh, membuli dan banyak lagi. 

"Tujuan cikgu tersebut adalah untuk mendidik. PIBG risau jika sikap segelintir ibu bapa seperti ini akan menyebabkan kes disiplin menjadi lebih parah dan merebak di kalangan murid-murid SK Taman Semarak akibat daripada ketakutan dan kerisauan cikgu-cikgu untuk membentuk disiplin anak-anak," kata YDP PIGB SK Taman Semarak dalam Telegram. 



Terdahulu pada 31 Oktober lalu, Cikgu Azizan mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut dan diikat jamin RM500. 

Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Negeri Sembilan, Abu Hurairah Suak berkata, pihaknya akan memberi bantuan guaman kepada Cikgu Azizan. 


Selain itu, dalam satu memo yang dikeluarkan Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, memohon semua guru di seluruh Malaysia memberi sokongan moral terhadap Cikgu Azizan pada 19 Disember ini di Mahkamah Majistret Seremban 2A.