Innalillahiwainnailaihirojiun, Latiff Borgiba meninggal dunia

Loading...

Pelakon veteran, Abdul Latiff T. K. Gomu Kakah, atau dikenali sebagai Latif Borgiba meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya, lapor Astro Awani

Pemergian Allahyarham itu disahkan oleh anaknya, Ab Uzza Ab Latiff yang merupakan jurukamera di Astro Awani sejurus selepas beliau mendapat panggilan dari ibunya. 

Allahyarham Latiff Borgiba menghembuskan nafas terakhir pada usia 80 tahun.

Menurut Ab Uzza, Allahyarham mengalami kekejangan pada awal Rabu. Anak-anaknya datang melawat Allahyarham malam tadi di kediamannya. 

"Bapa saya kelihatan stabil dan masih boleh berkomunikasi dengan anak-anaknya ketika kami datang melawat. Ayah sudah lama menghidap sakit tua," katanya.

Allahyarham dilahirkan di Bangkok, Thailand, berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1946, meninggalkan seorang balu, Fatimah Leman dan 16 orang anak. 

Sepanjang hayatnya dalam dunia seni, Allahyarham sangat sinonim dengan watak-watak antagonis dalam filem serta drama yang diterbitkan sejak 1960-an. 

Latiff pernah melakonkan beberapa buah filem termasuk 'Dang Lenggang', 'Ribut di Hujung Senja' dan 'Anakku Suamiku". Antara produksi televisyen yang pernah dibintangi Latiff termasuk drama 13 episod berjudul, "Tekukur Tak Berbunyi Lagi".

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Danau Kota, Setapak sekitar jam 9 malam ini.

Sumber: Astro Awani