Jalan raya tiba-tiba runtuh, 4 kereta terjatuh dan terbalik

Loading...

Empat buah kenderaan terjatuh dan terbalik apabila jalan raya yang dilalui mereka secara tiba-tiba runtuh, lapor Harian Metro

Dalam kejadian pagi hari ini di Jalan Kampung Prosperous, Sibuga, Sandakan, empat buah kereta berkenaan menggelungsur terjatuh dan terbalik, di tebing cerun jalan berkenaan, namun tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan. 

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu lalu bergegas menghantar anggotanya ke lokasi kejadian. 

"Difahamkan sebelum kejadian, kereta berkenaan dalam perjalanan ke rumah pengantin lelaki di kampung berkenaan. 

"Ketika beratur untuk menunggu giliran, jalan itu runtuh secara tiba-tiba menyebabkan empat buah kereta terlibat menggelungsur jatuh ke tebing," katanya. 







Mohd Azhar berkata, walau bagaimanapun kesemua pemandu dan penumpang kereta itu terselamat dan hanya berlaku kerosakan pada kereta sahaja.

"Siasatan juga mendapati, jalan raya berkenaan adalah jalan persendirian dan sudah terlalu lama dibina. Keadaan jalan yang rapuh menyebabkan laluan itu tidak dapat lagi menampung berat kenderaan yang sedang berhenti (beratur) di kawasan itu," katanya.