Kes susu tiruan kes terpencil, pemeriksaan ke seluruh negara tidak perlu dijalankan ketika ini

Loading...

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang menunggu laporan kimia untuk mengesahkan sama ada susu rumusan bayi yang dirampas dari kedai ubatan dan serbaneka di sekitar Johor Bahru, Khamis lalu tiruan atau sebaliknya, lapor Harian Metro

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayuddin berkata, pihaknya perlu mendapatkan laporan dari Jabatan Kimia terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut. 

"Setakat ini kami masih menunggu laporan dan akan cuba dapatkan laporan itu secepat mungkin. Sekarang kita tidak boleh beri maklumat lanjut kerana laporan kimia masih belum diperolehi. 

"Apabila sudah sahih, baru kami boleh mengeluarkan arahan berhubung isu ini ke seluruh negara," katanya, memetik laporan dari Harian Metro. 

Dalam masa yang sama, Mohd Roslan menjelaskan bahawa kejadian itu adalah kes terpencil dan pemeriksaan ke seluruh negara tidak perlu dijalankan ketika ini. 

KPDNKK juga katanya akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) pada petang ini bagi membincangkan isu berkenaan. 

Sementara itu, pihak pengeluar susu sebenar menasihatkan para pengguna cara membezakan susu sebenar dengan susu tiruan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berulang.  


Khamis lalu, KPDNKK Johor telah merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan dalam serbuan ke lima premis kedai ubatan dan serbaneka di sekitar Johor Bahru. Hasil rampasan semua kotak susu bernilai RM42,000. 

Juga viral di media sosial semalam, seorang wanita berkongsi penderitaan anaknya yang disyaki menjadi mangsa susu tiruan sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami demam panas, muntah teruk dan cirit-birit yang sangat teruk. 

Difahamkan, wanita berkenaan telah melaporkan kejadian itu kepada KPDNKK untuk siasatan dan tindakan lanjut. 

BERITA BERKAITAN: