'Muka dia dah biru, terpaksa korek tekak dia untuk dapatkan duit syiling 50 sen itu'


Ibu bapa atau penjaga perlu memastikan anak-anak tidak bermain dengan benda-benda yang berbahaya, contohnya seperti duit syiling. Ini kerana kanak-kanak di bawah usia 3 tahun masih belum mengerti objek tersebut dan ada yang akan masukkan ke dalam mulut. 

Seperti yang berlaku kepada anak saudara Arwina Mohammed di mana kanak-kanak berkenaan nyaris lemas dek tertelan duit syiling 50 sen. Mujur Arwina segera memberikan pertolongan cemas bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku. Beringatlah ibu bapa semua. 

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM. Hari yang sangat menyeramkan. Pertama kali saya ingin berkongsi kejadian yang baru berlaku 45 minit yang lalu. Alhamdulillah anak buah saya masih diberi peluang hidup. Tanpa diduga, berlaku kejadian di mana anak kecil tertelan duit syiling 50 sen.

Semasa kejadian itu, saya duduk di ruang tamu bersama tiga orang budak kecil. Beberapa minit kemudian, tiba-tiba anak buah yang berusia dua tahun berlari dan tepuk bahu saya dari belakang dengan keadaannya yang sudah ternganga dan berair mata kesakitan. 

Dengan rasa panik, saya pegang dan terus panggil ibunya. Apabila diperiksa, rupa-rupanya si anak ini sedang berperang menahan kesakitan kerana duit syiling 50 sen tersangkut di dalam tekaknya. 

Kejadian berlaku sangat pantas, hampir saja saya berputus asa kerana dua kali percubaan untuk mendapatkan semula duit syiling itu gagal. Akhirnya saya dan ibunya terus mencuba mengeluarkan duit syiling itu sehingga berjaya. Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Percubaan yang kali ketiga berjaya. 

Untuk pengetahuan, anak ini tadi mukanya sudah menjadi biru dan tidak bernafas. Allah! Hampir tiga minit juga kami berusaha baru duit syiling itu dapat dikeluarkan. Terpaksa masukkan jari ke dalam mulutnya untuk menarik duit syiling itu sambil berdoa dan istighfar tanpa henti. Dengan kuasa Allah SWT, anak kecil ini berjaya diselamatkan. 

Pesan saya kepada ibu bapa di luar sana. Jika berlaku kejadian seperti ini pada anak-anak anda, tolong jangan panik. Sebaik-baiknya bertindak segera dan berdoa agar diberi kemudahan secepatnya. Kalau tertelan duit syiling atau benda lain, pastikan jangan sesekali baringkan anak itu, tetapi tunggangkan kepalanya di bawah dan kaki di atas agar benda itu tidak terus masuk ke dalam perut, selain memudahkan anda menarik keluar objek itu dengan cepat. 



Jangan panik! Itulah kunci utama. Ya, saya mengaku walaupun bukan anak sendiri tetapi saya sendiri sudah bergegar satu badan melihat anak itu. Jangan berhenti seketika. 

Sentiasa pantau anak-anak anda di mana jua mereka berada. Kejadian seperti ini bukan kita yang minta tetapi ibu bapa harus berwaspada.

p/s: Hati masih ngilu mengenangkan kejadian tadi. Pertama kali saya korek tekak budak sedalam-dalamnya. Rasa kasihan dan takut yang amat sangat. Kalau tiada keberanian, mungkin saya tidak dapat tarik duit syiling itu tadi.