Remaja dilarikan lelaki mengaku anggota polis

Loading...

Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dipercayai dilarikan lelaki mengaku anggota polis bernama Faiz di rumahnya di Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, semalam, lapor Harian Metro

Ibu remaja berkenaan, Wan Maziah Wan Mat, 37, berkata, sebelum kejadian itu, Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi keluar membeli buku adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Gali dengan menaiki motosikal, kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka pada jam 11 pagi semalam. 

Ketika pulang, Nur Syaminn singgah membeli pisang goreng di kedai berdekatan di simpang Ulu Gali sebelum bertemu dengan seorang lelaki yang mengaku dirinya anggota polis meminta tolong untuk membawa pulang motosikal yang didakwa baru dibelinya di kedai di Sungai Ruan. 

Faiz kemudian mengikut Nur Syaminn pulang ke rumah dan bertemu dengan Wan Maziah. 

"Dia memperkenalkan diri sebagai Faiz, anggota bertugas di Balai Polis Sungai Ruan. Katanya dia mahu meminta tolong anak saya mengambil motosikal baru dibelinya. Tanpa syak wasangka saya membenarkan Nur Syaminn mengikut lelaki berpenampilan kemas berusia lingkungan 20-an itu menaiki kereta berwarna perak," katanya.

Kira-kira jam 3 petang, Wan Maziah mendapat panggilan telefon daripada Nur Syaminn yang mengatakan dia berada di Gua Musang, Kelantan sambil menangis dan memaklumkan gelang emasnya telah diambil lelaki itu sebelum talian diputuskan.

"Sambil menangis dia memberitahu gelang emas dipakainya diambil lelaki itu sebelum talian diputuskan,” katanya.


Ekoran kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Ruan pada jam 4 petang semalam untuk tindakan lanjut. 

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. 

Sumber: Harian Metro