Remaja perempuan diculik, dikurung dan dirogol beberapa kali selama seminggu

Loading...

Penderitaan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun diculik, kurung dan rogol selama seminggu oleh enam lelaki, berakhir apabila pasukan khas anggota Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menyerbu rumah berkenaan di Kuala Sungai Yan, Kedah. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian culik dan kurungan salah itu pada Isnin lalu. 

Bertindak di atas maklumat itu, pasukan khas D9 telah mengesan suspek sebelum menyerbu rumah itu pada jam 6 pagi semalam dan berjaya menahan enam lelaki termasuk suspek utama berusia 20 hingga 50-an. 

"Mangsa diselamatkan selepas dikurung di stor di rumah itu selama seminggu, malah hasil temu bual remaja terbabit memberitahu dirogol suspek utama berusia 50-an beberapa kali.

"Suspek utama memiliki 33 rekod jenayah lampau dan orang dikehendaki bagi kes samun, kurungan salah, dadah, memiliki senjata berbahaya dan ugutan jenayah,” katanya..

Polis juga turut merampas barang yang disyaki hasil samun dan curi iaitu dua motosikal, dua kereta Proton Perdana dan BMW, topi keledar pelbagai jenis, telefon bimbit, peralatan televisyen, monitor dan beberapa unit pembesar suara.

Kesemua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 akta sama untuk membantu siasatan. 

Sumber: Harian Metro