Samseng kayu hoki rayu hukuman ringan sebab perlu menanggung keluarga


Padah menakutkan pengguna jalan raya yang lain dengan kayu hoki, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara selama empat hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Klang, hari ini, lapor Harian Metro

Majistret Nor Asma Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, T Mathan, 25, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, Mathan didakwa menakutkan secara jenayah dengan menghayun kayu hoki ke arah Huang Tiong Yeong, 37, di Bulatan Berkeley, Klang, jam 1.15 petang, Sabtu lalu.

Mathan mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mathan yang diwakili peguam bela, Gerard Lazarus memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana tertuduh mempunyai tanggungan ibu bapa, isteri dan anak berusia tiga tahun. Selain itu, tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 dan menghidap penyakit kencing manis kronik yang memerlukannya kerap memakan ubat.

"Pengakuan bersalah ini juga menjimatkan masa mahkamah dan dia sudah memohon maaf kepada mangsa kerana bertindak di luar jangkaan," katanya.


Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Abdul Azi yang mengendalikan kes itu memohon hukuman setimpal kerana mengambil kira faktor kepentingan awam termasuk membabitkan kes buli jalan raya.

Majistret Nor Asma kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara empat hari bermula dari tarikh ditangkap pada Isnin lalu dan tambahan selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

BERITA BERKAITAN: