'Saya sudah insaf selain perlu menyara ibu berusia 60 tahun' - Tertuduh liwat anak saudara (11), rayu diberi hukuman ringan

Loading...

Mahkamah Sesyen Kota Bahru hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun dan 12 sebatan terhadap pembantu operasi di sebuah hospital atas tuduhan meliwat anak saudara perempuannya berusia 11 tahun, tahun lalu, lapor Harian Metro

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, 32, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. 

Difahamkan, tertuduh pada November lalu telah dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan 15 sebatan atas tuduhan merogol seorang lagi anak saudaranya, 15, yang juga merupakan kakak kepada mangsa liwat berkenaan. 

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan selepas selesai menjalani hukuman rogol itu. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa meliwat mangsa berusia 11 tahun dua bulan di sebuah rumah di Jalan Bayam, Kota Bharu, jam 9 malam pada Februari hingga Mei 2016, mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. 

Sebelum itu, tertuduh merayu dan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan berjalan serentak dengan kesnya sebelum ini atas alasan sudah insaf dan perlu menyara ibunya yang berusia 60 tahun. 

"Saya sudah insaf selain perlu menyara ibu berusia 60 tahun," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. 

"Mangsa yang kematian bapa kandung menganggap tertuduh seperti bapa sendiri namun tertuduh mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak ini.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman berat berjalan secara berasingan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai," katanya.