'Tiba-tiba 4 lelaki bertopeng datang dan cuba merompak rumah saya'

Loading...

Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi detik cemas rumahnya hampir dipecah masuk ketika dia baru saja meninggalkan rumahnya untuk pergi bekerja di Singapura. 

Menurut Bee Kee, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.50 pagi, 14 Disember, di Teratai 32, Johor Jaya. 

"Saya baru nak pergi bekerja di Singapura. Teman lelaki saya tiba di depan rumah dengan motosikalnya untuk menjemput saya. 

"Ketika kami sedang bersiap mahu meneruskan perjalanan, tiba-tiba sebuah kereta lama berhenti di depan rumah saya. Merasakan ada sesuatu yang tidak kena bakal berlaku, teman lelaki saya segera membuka pintu pagar dan saya terus berlari ke dalam. 

"Ada empat lelaki di dalam kereta itu, tetapi hanya tiga daripada mereka keluar dan kesemua memakai topeng muka bagi mengelakkan diri mereka dari dikenali. 

"Ketiga-tiga mereka memegang batu besar dan rantai besi di tangan dan kelihatan bersedia menyerang kami. Saya benar-benar ketakutan pada waktu itu dan mula menjerit  sekuat-kuat hati. 

"Jeritan itu membuatkan ahli keluarga saya terbangun, lalu turun ke bawah untuk memeriksa apa yang telah berlaku," katanya. 

Bimbang ditangkap, sekumpulan penjenayah itu kemudian terus melarikan diri. Namun sebelum itu, mereka sempat membaling batu besar pada kaki teman lelaki Bee Kee dan memukul motosikalnya dengan rantai besi. Bagaimanapun tiada sebarang kerosakan dan kecederaan yang dialami. 

Difahamkan, kejadian itu bukanlah pertama kali berlaku di kawasan perumahan terebut. Baru-baru ini juga, rakan Bee Kee yang tinggal di depan rumahnya dirompak.

Kejadian itu menyebabkan penduduk di kawasan itu berasa tidak selamat dan menimbulkan rasa kegelisahan mereka. 


Perkongsian Bee Kee itu viral di media sosial dan ada beberapa netizen yang tampil berkongsi pengalaman yang sama dirompak sekumpulan penjenayah di Johor. 

Salah seorangnya berkata, terdapat empat kes pecah rumah di kawasan perumahannya dalam bulan yang sama. 

"Perompak semakin bermaharajalela, malah mereka tak takut pun kena tangkap!" kata netizen.