3 maut, bas sekolah rempuh belakang lori bawa muatan besi paip

Loading...

Tiga maut, termasuk dua orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong II, selepas bas sekolah yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Pesisir Bintulu - Miri, pagi tadi, lapor Berita Harian

Dalam kejadian jam 6.12 pagi, bas sekolah terbabit dipercayai dalam perjalanan menghantar anak-anak pekerja sebuah ladang kelapa sawit di Samalaju ke sebuah sekolah rendah di pusat bandar sebelum merempuh belakang lori yang membawa muatan besi paip. 


Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak menerima panggilan kecemasan jam 6.12 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota bersama jentara telah dikerahkan ke lokasi kejadian. 

Pemandu bas, Ramnelan Samat, 50, dan seorang penumpangnya, Aien Laila Alesha Abdullah, 11, maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala, manakala seorang lagi mangsa, Nurnadia Syakila, 9, meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Bintulu. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan mendapati bas berkenaan merempuh bahagian belakang lori itu menyebabkan bahagian depan bas remuk dan ada di antara mangsa tersepit. 

Tujuh lagi penumpang bas sekolah itu cedera dan diletakkan di bawah pengawasan pasukan perubatan Hospital Bintulu, manakala 12 lagi penumpang terselamat tetapi mengalami trauma.





"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pemandu lori berkenaan mendakwa kenderaannya rosak dan diletakkan di bahu jalan.

"Punca sebenar kejadian sedang dikenalipasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Waris kesemua mangsa telah dihubungi berhubung kejadian itu," katanya.