'Balas dendam takkan kembalikan anak saya' - Ibu maafkan remaja yang bunuh anaknya buat netizen sebak


"Sungguh tabah hatimu ibu," demikian reaksi netizen yang terkejut dan tidak menyangka reaksi seorang ibu yang sanggup memaafkan dan memeluk remaja yang membunuh anak lelakinya dalam kejadian 28 Jun 2015, di Cincinati, Ohio, Amerika Syarikat. 

Dalam kejadian itu, mangsa, Suliman Abdul Mutakallim, 39, yang dalam perjalanan pulang ke rumah sambil membawa barangan makanan yang dibeli untuk dia dan isterinya, ditembak di bahagian belakang kepala.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tiga suspek terlibat dalam kejadian itu. Video juga menunjukkan suspek bernama Jason, 14, sedang mengambil wang dari poket seluar mangsa yang jatuh tertiarap selepas ditembak. 

Difahamkan, mangsa yang juga veteran tentera laut itu masih bernyawa selepas ditembak dan mengalami banyak pendarahan. Juga di dalam dompetnya hanya berisi AS$60 sahaja. 

Selepas mengambil wang itu, Javon menyerahkan kepada dua lagi suspek masing-masing berusia 17 tahun dan 20-an, sebelum mengambil barangan makanan dan berlalu pergi meninggalkan mangsa yang cedera parah. 


Ketika perbicaraan di mahkamah, ibu mangsa, Ruyike Abdul, 66, dari North Carolina telah meminta kebenaran dari mahkamah untuk melakukan sesuatu yang tidak dijangka dan membuat mereka semua terkejut.

Ruyike berjalan ke arah Javon yang telah mengaku membunuh anaknya, lalu memaafkan dan memeluk remaja itu, malah dia juga turut memeluk ibu remaja terbabit yang hadir ke perbicaraan itu.  

"Kematiannya telah ditakdirkan, mungkin tujuannya adalah untuk menyelamatkan kehidupan awak.

"Saya tak benci awak, saya tak mampu bencikan awak. Itu bukan cara kami. Menunjukkan belas kasihan itulah cara kami. 

"Apa yang kami mahukan untuk mereka bukanlah membalas dendam. Membalas dendam tidak akan menyelesaikan masalah, juga tidak akan menggembalikan anak saya," katanya yang juga telah menanggung kesedihan akan kematian anaknya itu selama dua tahun. 

Suasana menjadi semakin sebak apabila Javon memohon maaf kepada Ruyike di atas tindakannya itu.

"Puan Abdul, saya ingin mengatakan bahawa saya minta maaf," katanya.


"Anak-anak muda itu, walaupun mereka telah mengambil nyawa anak saya dengan perbuatan mereka, kita perlu berjuang untuk mereka kerana mereka akan kembali dan mereka akan menjadi dewasa. Tetapi jika mereka tidak dibimbing, jadi perkara yang sama akan berulang kembali dan mereka akan mengambil nyawa anak orang lain. 

"Kita perlu berjuang untuk mereka dan tunjukkan bahawa ada kehidupan yang lebih baik. Dan kemudian mereka juga perlu berjuang untuk mendapatkan kehidupan yang baik," kata Ruyike.