'Dia mulai berkelakuan aneh dan tiba-tiba lempang saya'


"Dia mulai berkelakuan aneh dalam kereta saya," demikian kata individu yang membawa pelakon Farid Kamil ke Balai Polis Damansara, sebelum berlakunya kejadian anggota polis ditampar dan orang awam ditendang. 

Berdasarkan laporan polis yang dibuat pada jam 3.52 petang tadi oleh lelaki bernama Ashraf, 34, berkata, dia menemui pelakon itu pada jam 12.30 tengah hari ketika sedang memandu di Tropicana. 

"Ketika saya sedang memandu di Tropicana, saya ternampak seorang lelaki tidak berbaju dalam hari hujan sedang meminta tolong dari kereta yang sedang lalu lalang. 

"Saya telah berhenti dan mendapati lelaki berkenaan adalah Farid Kamil. Dia meminta bantuan saya untuk membawa dia ke balai polis kerana dia telah accident. 

"Dalam perjalanan ke Balai Polis Trafik, Farid Kamil berkata dia kesejukan. Saya telah membawanya ke Restoran Bonda dan meminjam baju pemilik restoran yang juga merupakan kawan saya. 

"Saya mendapati Farid Kamil telah mulai berkelakuan aneh dalam kereta saya dengan mengambil gambar saya dan cuba memegang stereng kereta.

"Seterusnya saya membawa Farid Kamil ke Balai Polis Trafik Kota Damansara untuk membuat laporan polis. Tiba di balai, Farid Kamil masih berkelakuan aneh. Tiba-tiba Farid Kamil telah melempang pipi kira saya di hadapan polis trafik. 

"Belum sempat saya berbuat apa-apa, Farid Kamil telah melempang seorang anggota polis trafik yang cuba membantu. 

"Tiba-tiba Farid Kamil telah menendang saya dengan kuat di bahagian perut. Saya juga telah ditendang di bahagian kemaluan dengan disaksikan oleh anggota-anggota polis yang lain," tulisnya dalam laporan tersebut. 


Sementara itu, netizen terus 'menyerang' akaun Instagram pasangan berkenaan sehingga memaksa isteri Farid Kamil, Datin Diana Danielle menutup ruangan komen.