'Isteri korbankan minat dan harta yang dia sayangi demi bantu keluarga'

Loading...

Bermula dari minat, bertukar menjadi 'kegilaan' apabila lelaki ini sanggup menghadiahkan isterinya 20 helai tudung berjenama setiap bulan. Hati isteri mana yang tak gembira dapat hadiah seperti itu. Namun, dugaan datang tanpa diduga di mana mereka mengalami masalah kewangan. 

Tidak sanggup melihat keluarga dilanda masalah seperti itu, isteri lelaki ini mengambil keputusan untuk mengorbankan minat dan hartanya yang disayanginya itu dengan menjual tudung-tudung yang dibeli suaminya. 

"Betullah apa yang dikata, pelaburan yang paling berbaloi ialah pelaburan kepada isteri dan keluarga."

SEMALAM teringat kegilaan saya buat isteri saya dua tahun yang lalu.

Di tempat kerja saya, ada beberapa orang yang minat dengan tudung ini. Masa itu, saya tak tahu tudung apa pun. Tapi seronok tengok diorang dok kumpul order tiap-tiap bulan. Selepas itu diorang akan berpakat untuk pakai tudung corak yang sama setiap hari.

Masa itu saya terbayang, "alangkah seronoknya kalau isteri aku dapat pakai tudung cantik macam nie."

Sejak dari hari itu saya mula bertanya-tanya mengenai tudung ini dengan rakan sekerja. Barulah saya tahu tentang jenama dan label-label serta corak-corak yang hot tudung ini. Bila balik rumah, saya bercerita dengan bersungguh-sungguh pada isteri. Dia pun dari tak pernah dengar, terus jadi minat. Dari situ kami mula study dan menyedari tentang nilai tudung yang boleh mencecah ratusan ringgit bergantung kepada corak yang terkenal.

Disebabkan baru berjinak-jinak, saya fokus pada corak yang hot tetapi tidak mahal. Seminggu sebelum hari lahir isteri, saya mulakan proses 'hunting' di group tudung tersebut. Ramai seller yang memanggil saya "sis" dan terkejut serta terharu apabila mengetahui yang saya sedang hunting untuk isteri.



Hasilnya, tepat pada hari kelahiran isteri, saya hadiahkan beliau 20 helai tudung Aidijuma yang termampu saya hunt. Perkara ini saya dedahkan di dalam group tudung tersebut dan buat pertama kali dalam hidup, posting saya mencecah seribu likes.

Ramai yang teruja dan terharu dengan apa yang saya lakukan untuk isteri, memandangkan ahli-ahli di dalam group itu pun memang mempunyai minat yang sama.

Tetapi kegilaan saya tidak terhenti di situ, saya seperti terjebak di dalam mengumpul tudung AJ dengan corak-corak hot yang lain. Termasuklah pembelian corak baru setiap bulan. Sehinggalah jumlah tudung yang dibeli mencecah lebih dari seratus helai beberapa bulan selepas itu.



Setiap kali isteri saya pakai, saya rasa berbangga kerana saya berjaya menghias isteri saya dengan cantik walaupun beliau tidak bekerja. Bagi saya ianya satu kejayaan yang baik bagi seorang suami. Saya sendiri seronok bila isteri suka bergambar dengan tudung-tudung yang berlainan corak.

Namun, mungkin telah ditakdirkan. Tudung-tudung ini menjadi aset untuk kami selepas pembelian rumah sendiri setahun selepas itu. Kami telah menghabiskan segalanya untuk proses pembelian dan kemasukan rumah sehinggakan kami hampir putus sumber kewangan untuk meneruskan kehidupan. Ditambah pula dengan kelahiran anak kedua kami.

Pada masa itulah, isteri saya mengorbankan minat dan harta yang antara beliau paling sayangi iaitu tudung-tudung yang saya belikan untuknya. Tetapi jujur saya katakan, saya yang lebih sedih dari isteri. Kerana selama berbulan-bulan lamanya kami mengumpul koleksi sehingga saya menjadi terkenal di group tudung yang hampir kesemuanya dipenuhi oleh wanita.



Alhamdulillah, disebabkan nilai tudung yang hampir kesemuanya tidak turun dari harga asal walaupun yang "preloved" malah ada yang berganda-ganda harganya, kami dapat menampung perbelanjaan hidup kami pada ketika itu.

Selepas kehidupan kami kembali stabil, isteri saya Nora Azni mengambil keputusan untuk menghadiahkan tudung-tudung yang tidak terjual kepada saudara-mara dan rakan-rakan beliau di Facebook. Perasaan seronok apabila kita memberi adalah satu perasaan yang sangat istimewa bagi kami. Yang tinggal hanya beberapa helai yang paling beliau minati. Itulah yang menjadi kenangan kegilaan kami yang paling manis.

Betullah apa yang dikata, pelaburan yang paling berbaloi ialah pelaburan kepada isteri dan keluarga. Kerana ia telah terbukti akhirnya dapat membantu keluarga kami di saat yang paling kami perlukan di samping dapat menggembirakan hati isteri.

Semoga dapat memberi manfaat kepada pembaca.