'Kalau betul kita nak kahwin dengan orang itu, bawa mak ayah datang rumah dulu' - Teguran si ayah kepada anaknya buat ramai anak muda tersentap

Foto Hiasan

Perkahwinan merupakan satu ikatan yang suci dan murni. Perkahwinan bukan sahaja penyatuan antara suami dan isteri, malahan penyatuan antara dua keluarga. Namun, untuk melangkah ke gerbang perkahwinan bukan satu perkara yang mudah, banyak perkara yang perlu difikirkan meliputi semua aspek. Kerjaya yang stabil, kesihatan, kewangan dan pasangan yang serasi antara yang perlu diteliti sebaiknya sebelum melangkah ke fasa baharu. 

Thread ini menceritakan seorang kakak yang menyampaikan luahan hati ayahnya yang mahukan kehidupan terbaik anaknya.  Kasih ayah sepanjang masa, kasihnya kepada anak tiada penghujungnya, terutama kepada anak-anak perempuannya. 

Hati ayah mana yang tidak resah gelisah mendengar anaknya mahu disunting, sedangkan pendekatan yang dilakukan oleh si lelaki tidak kena pada tempatnya. Bukan itu sahaja, si ayah turut memikirkan bagaimana anaknya mahu ‘berjuang’ di dalam fasa baharu sedangkan mereka baru sahaja menginjak usia 18 tahun? Ya, usah dibandingkan cara zaman dahulu. Zaman sekarang banyak cabaran yang mendatang. Harga sardin pun sudah buat kita pening kepala!

“THREAD ini aku nak cerita pasal cara bahasa seorang lelaki approach parents. Tadi aku ingat adik aku ketuk pintu. Rupanya Ayah. Aku tengah baring main phone. Ayah pun duduk. Tiba-tiba ayah tanya aku, 

"Dah lama ke adik ada pakwe? Kenapa tak bagitau Ayah?" soalannya membuatkan aku terkejut seketika.

Aku dah beritahu Ayah 2 3 hari lepas, cuma seloroh sahaja. Ayah ingat aku dengan kakak aku bergurau. 

"Pakwe adik call, nak cakap dengan mak. Dia cakap dia nak kawan dengan adik dan nak buat isteri," kata ayah.

 Aku sendiri pun terkejut sebab aku ingatkan diorang berkawan sahaja. Ayah aku sedih dan sebagai seorang ayah rasa bengang jugalah dengan cara pendekatan budak lelaki itu. Ayah bersyukur juga ada orang nak kahwin dengan anak dia. Cumanya dia nak anak dia penuhkan dada dengan ilmu dulu. Adik aku itu baru je masuk diploma, jauh sangat lagi perjalanan.

Aku tanya ayah, "Sepatutnya macam mana Ayah?". Ayah cakap macam kakak aku yang dah kahwin tu. Mula-mula dia beritahu ada orang nak datang rumah, Ayah dengan sendiri fahamlah. Kemudian abang ipar aku bawa mak ayah dia. Sembang, taaruf masing-masing dulu. Selepas itu baru mak ayah dia tanya pasal berbesan.

Nampak tak di sini betapa kahwin ini bukan sesenang yang disangkakan. Hanya buat panggilan telefon, cakap yang kita nak jadikan anak dia sebagai isteri bukan perkara yang beradab. Ayah aku terkejut dan tak berkenan dengan cara lelaki tu.

Kakak, abang aku, kahwin semua Ayah aku permudahkan. Tak ada letak syarat pelik-pelik. Cumanya ipar aku semua memang bawa mak ayah mereka datang rumah dulu. Kemudian baru cakap tentang berbesan. Nampak keindahan adat Melayu yang masih terjaga walaupun bab lain tidaklah terlalu ketat dengan adat pelik-pelik. 

Dan aku faham maksud ayah aku di sini yang dia nak anak dia stabil dulu, sebab dia dah pencen. Sekurang-kurangnya habiskan pengajian sebagai backup diri. Kita tak tahu kahwin nanti jadi apa-apa. Kalau apa-apa berlaku, setidak-tidaknya ada sijil untuk kita berusaha mencari kerja. Sebab kahwin ini seumur hidup.

Betapa mudahnya ayah aku ini, sampaikan dia cakap tak payahlah bertunang-tunang, terus kahwin saja. Kakak-kakak semua kahwin terus, jimat duit tak payah buat majlis banyak kali. Cuma agak terkejut dengan adik aku sebab baru masuk belajar. Kalau dah matang apa semua, tak apalah juga.

Boleh je ayah aku nak cakap sendiri pada adik aku. Tetapi dia nak juga jaga hati anak-anak dia, tidak mahu bagi tekanan perasaan pada anak-anak. Ayah suruh cakap elok-elok dengan adik dan pesan pada adik aku jangan buat ayah sedih. Sebak juga aku dengar ayah kata begitu, Biarlah kita tak ada pakwe pun. Haha.

Ayah aku cakap, kalau betul kita nak kahwin dengan orang itu, bawa mak ayah datang rumah dulu. Sama macam lelaki tadi. Ayah pernah beritahu aku berkenan pada seseorang, dua-dua  reaksi parents okey. Sebab umur 22 ini dah masa dia dah. Adik aku baru 18 tahun. fahamlah kenapa ayah aku risau.

Adat Melayu ini cantik dah, nak sunting bunga di taman, bawa ibu ayah ke rumah si dia. Bukan terus terjah si dia seperti ini atau terus terjah ibu si dia. Ada cara bahasa kita kena ikut. Dari situ ibu ayah ini boleh menilai keikhlasan atau budi pekerti takat mana untuk jaga anak dia.

Aku fahamlah kenapa ayah aku bimbang, sebab adik aku dah pernah kecundang masa SPM. Dia dah janji nak tebus sejarah, nak berubah jadi anak baik. Ayah aku nak tengok anak dia berjaya sebab dia pun umur dah 66 tahun. Sekurang-kurangnya bila dia dah tak ada, kami ada backup untuk tampung hidup.

Lelaki itu pula belajar di Politeknik tak habis. Sekarang baru berumur 18 tahun, kerja entah kerja apa. Bukan ayah aku pandang hina orang macam itu. Cuma boleh bayangkan tak seorang ayah, dia rasa reliable ke nak serahkan anak perempuan dia pada seseorang yang dia sendiri tidak tahu mampu ke tak tanggung anaknya.

Abang aku pun Politeknik tak habis, cumanya sambung ke UiTM then buat bisnes, mengajar mengaji, ada income kukuh untuk sara anak orang. Then baru ayah aku sendiri percaya dan lepas abang aku nak kahwin. Ayah aku tak pandang hina pun pada dia. Cuma bayangkan kedua-duanya berumur 18 tahun lagi. Adik aku tak matang lagi.

Sebaknya aku bila ingat yang ayah dan mak aku sedih sangat. Sebab punyalah harapan hantar adik aku ke menara gading, suruh fokus pengajian dulu. Baru start diploma kot. ni alih-alih jumpa lelaki entah di mana, kerja Klang, terus cakap nak buat bini. At least datang rumah dulu okey lagi.

Konklusi aku, semua orang nak kahwin tetapi bukan senang dik oi. Beratnya tanggungjawab. Lagi-lagi kalau jenis tak pandai berdikari, baru start mengaji dah mintak kahwin. Macam mana nak convince parents. Si lelaki pula nak approach parents jangan terus cakap saya nak berbinikan dia.

Tengoklah statistik ramai mana kahwin muda kecundang. Memang kahwin itu Allah kata Allah akan tambah rezeki. Kalau dah betul-betul matang, pandai cari duit tak apa. Ini kalau mentah lagi, sabar sajalah dulu. Perempuan jangan terus lembik bila lelaki kata I love u, I wanna marry you.

Semua itu senang saja dilafazkan. Tapi kalau betul, dia bawa parents dia datang jumpa parents kita. Only then kita boleh letakkan kepercayaan. Dah ramai mana member aku kena game dengan jenis lelaki yangg cakap. I wanna marry you. Datang rumah minta nak bawa keluar anak dara orang. Akhirnya curang. Nauzubillah

Wanita jangan lembik kerana lelaki. Lelaki jangan lemah kerana wanita. Mahalkan dirimu.

Sumber: Zara