'Malu saya dibuatnya' - Aliff terkejut kereta mewahnya RM1 juta disita JPJ

Loading...

Ahad lalu, kereta mewah Rolls Royce milik Pengarah Urusan D'Herbs Holding Sdn Bhd, Datuk Seri Aliff Syukri, disita dalam Op Patuh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Bangsar. 

Kereta berharga lebih RM1 juta itu yang disewa dua lelaki warga asing, disita atas kesalahan kawasan pengisytiharan penggunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM). Selain itu, kereta berkenaan turut disaman kerana nombor plat tidak mengikut spesifikasi. 

Pemeriksaan terhadap dua lelaki terbabit juga mendapati pemandunya tidak mempunyai lesen memandu sah di negara ini. Selain itu, seorang lagi rakannya juga tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. 


Sementara itu, Datuk Seri Aliff Syukri yang kini berada di Bali, Indonesia atas urusan pernaigaan, terkejut selepas mendengar berita tersebut dan tidak tahu menahu keretanya disewa dua warga asing atau mengenai penggunaan LKM kenderaannya itu. 

"Saya tidak tahu mengenai kereta saya yang disewakan kepada orang lain dan segala urusan mengenai kereta berkenaan dilakukan oleh pengurusan syarikat. 

"Saya akui kecuaian saya ini dan memohon maaf kepada pihak berkuasa. Apabila balik ke Malaysia nanti, saya akan uruskan perkara ini. 

"Sebenarnya saya tidak menggunakan kenderaan itu dan segala urusan perjalanan di Malaysia menggunakan kereta Toyota Vellfire. 

"Saya tidak mahu memperbesarkan hal ini dan akan menyelesaikannya dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila pulang ke Malaysia nanti. 




"Saya meminta netizen tidak mengecam saya seolah-olah melakukan kesalahan besar seperti seorang penjenayah yang merompak dan merogol. 

"Apabila saya buat baik orang tak pandang, tapi apabila timbul masalah seperti ini, netizen menuduh saya macam-macam. Malu saya dibuatnya," katanya. 

Sumber: Harian Metro