Mangsa samun dibebaskan, tiada pendakwaan dilakukan


Mangsa samun yang menikam lelaki yang memecah masuk rumahnya di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, minggu lalu, dibebaskan, kelmarin. Mangsa yang berusia 32 tahun itu dibebaskan selepas mendapat arahan NFA (tiada tindakan lanjut) daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kertas siasatan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum kes itu mendapat arahan NFA.

"Kes dirujuk ke Ketua Unit Jenayah Berat, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Saiful Edris Zainuddin di Putrajaya berkaitan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan sudah dirujuk dan mendapat arahan NFA mengikut Seksyen 99 Kanun Keseksaan.

"Lelaki yang ditahan reman juga sudah dibebaskan pada 8 Januari lalu dan tiada pendakwaan yang dilakukan," katanya.

Terdahulu dalam kejadian jam 2.45 petang, 3 Januari lalu, perompak yang bersenjatakan pemutar skru telah memecah masuk ke rumah mangsa, maut apabila ditikam mangsa menggunakan pisau pemotong sayur ketika berlaku pergelutan di antara mereka. 

Dalam kejadian itu, mangsa juga mengalami kecederaan parah di kepala, manakala perompak terbabit ditemui terbaring dan mati di lorong belakang rumah mangsa sejurus kejadian. 

BERITA BERKAITAN: