'Najib bawa lebih banyak pembangunan Kelantan berbanding Tun Dr Mahathir' - Timb MB Kelantan


Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membawa lebih banyak pembangunan kepada Kelantan berbanding ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar, yang juga Naib Presiden Pas berkata, ia berikutan wujud hubungan yang lebih baik antara kerajaan negeri pimpinan Pas dan kerajaan Persekutuan pimpinan BN ketika ini walaupun terdapat perbezaan ideologi antara kedua-dua parti.

“Keadaan sekarang jauh berbeza ketika Dr Mahathir memimpin negara. Beliau ketika itu dilihat meminggirkan Kelantan dalam aspek pembangunan akibat perbezaan politik.

“Namun demikian, semuanya berubah di bawah kepimpinan Najib (yang tidak menganaktirikan Kelantan) kerana banyak perubahan (terutama aspek pembangunan) telah berlaku di Kelantan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Petak Kajian Pokok Eucalyptus di Hutan Simpan Beris, Lojing di sini, hari ini oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mohd Amar berkata, era pemerintahan Dr Mahathir seharusnya telah berlalu dan Pakatan Harapan tidak sepatutnya menamakan beliau sebagai calon perdana menteri.

“Walaupun beliau mencatat sejarah memegang jawatan perdana menteri  selama 22 tahun sebelum ini namun keadaan pada masa dahulu dan kini amat berbeza (dengan pelbagai cabaran baharu),” katanya.

Pada Ahad lepas, Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Bersatu sebagai calon perdana menteri jika  pakatan itu memenangi pilihan raya umum ke-14, manakala presiden PKR,  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri. - Bernama