Pasangan tarik balik saman terhadap JAWI

Loading...

KUALA LUMPUR -Pasangan  suami isteri hari ini menarik balik saman mereka terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan enam pihak yang lain berhubung  penangkapan dan penahanan mereka secara salah oleh jabatan itu kerana disyaki berkhalwat.

Mohd Ridhuan Giman, 35, memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa beliau dan isterinya, Siti Sarah Maulad Abdullah, 27, selaku plaintif menarik balik tuntutan saman berkenaan secara sukarela atas alasan mempunyai masalah kewangan serta tidak mahu meneruskan saman itu.

“Saya mempunyai masalah kewangan kerana hanya bekerja sambilan dengan pendapatan yang tidak menentu. Saya juga menghadapi tiga kes di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur dan mahu menumpukan perhatian terhadap kes berkenaan,” katanya yang turut memaklumkan kepada mahkamah, beliau tidak dapat menghubungi isterinya.

Isterinya tidak hadir pada prosiding hari ini kerana berada di Muar, Johor.

Hakim Datuk Nordin Hassan kemudiannya membatalkan saman itu dan memerintahkan pasangan  berkenaan membayar kos sebanyak RM3,000 kepada ketujuh-tujuh defendan.

Kesemua defendan itu ialah dua pegawai penguat kuasa Jawi; Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jawi; Pengarah Jawi; Jawi; Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketujuh.

Terdahulu, peguam Adam Luqman Amdan memaklumkan kepada mahkamah berhubung penarikan dirinya selaku peguam mewakili plaintif kerana beliau mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan anak guamnya sejak tiga atau empat bulan lepas bagi mendapatkan arahan selanjutnya untuk perbicaraan kes saman yang ditetapkan selama tiga hari bermula hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan, yang mewakili kesemua defendan  memaklumkan  kepada mahkamah supaya plaintif mengemukakan permohonan maaf selain turut memohon kos RM10,000 daripada pihak plaintif.

Dalam saman difailkan pada 17 Feb tahun lepas, pasangan suami-isteri itu mendakwa mereka yang bernikah pada 17 Okt 2014 di Kuala Lumpur, telah ditahan secara salah oleh pegawai penguat kuasa Jawi ketika menginap di sebuah hotel dekat sini.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif menuntut perisytiharan bahawa tangkapan pada pukul 1.30 pagi, 8 Jan tahun lepas di hotel berkenaan adalah salah, tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Turut dituntut ganti rugi am atas kecederaan reputasi akibat tangkapan dan penahanan secara salah serta hak privasi mereka dicerobohi selain menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Dalam pembelaan yang difailkan pada 3 April tahun lepas, defendan mendakwa plaintif pertama (Mohd Ridhuan) telah membuat provokasi dengan meninggikan suara dan mempertikai kuasa pasukan penguat kuasa Jawi yang masuk ke dalam bilik untuk pemeriksaan.

Defendan juga mendakwa tiada sebarang kekerasan atau serang sentuh terhadap kedua-dua plaintif semasa pemeriksaan dijalankan di dalam bilik hotel berkenaan. - Bernama

BERITA BERKAITAN: