Penyamun mati ditikam pemilik rumah, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh

Loading...

Seorang pemilik rumah yang bergelut dengan penyamun yang memecah masuk rumahnya di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram sehingga menyebabkan kematian penjenayah itu, ditahan pada Khamis lalu untuk membantu siasatan, lapor Bernama

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa samun yang berusia 32 tahun bekerja sebagai pengaturcara di sebuah kafe siber ditahan reman sehingga 10 Januari ini untuk membantu siasatan kes yang kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Mangsa samun itu disiasat di bawah Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk pembunuhan.

Dalam kejadian jam 2.45 petang Rabu, suspek yang mempunyai 14 rekod jenayah telah memecah masuk rumah dan mengancam pemiliknya dengan pemutar skru, selain memaksa mangsa menyerahkan semua barang-barang berharga miliknya. 

Suspek telah mengambil dompet dan wang tunai RM730, cincin emas dan telefon bimbit mangsa dan memaksa mangsa membuka pintu dapur, untuk melarikan diri. 

Tetapi ketika suspek cuba melepaskan diri melalui pintu dapur, pemilik rumah sempat mencapai pisau dapur sepanjang 22 sentimeter lalu meminta suspek menyerahkan semula barang-barangnya. Suspek enggan berbuat demikian menyebabkan kedua-duanya bergelut. 

Dalam pergelutan itu, mangsa sempat menikam belakang leher suspek sebelum ditemui mati di belakang rumah mangsa.




Mangsa yang juga cedera dalam pergelutan itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dan menerima lapan jahitan di kepalanya. 

BERITA BERKAITAN: