Perompak mati ditetak tuan rumah


Seorang perompak mati ditetak mangsanya menggunakan pisau pemotong sayur dalam kejadian samun, petang semalam, lapor Harian Metro

Dalam kejadian jam 2.45 petang di sebuah rumah di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor, perompak yang bersenjatakan pemutar skru mati ditetak mangsa menggunakan pisau pemotong sayur. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya meneirma panggilan kecemasan dari orang awam yang memaklumkan penghuni rumah berkenaan cedera di kepala akibat disamun dan bergelut dengan suspek. 

"Bertindak di atas maklumat ini, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi dan apabila tiba, kami mendapati mangsa cedera parah di kepala dan pemeriksaan susulan membawa kepada penemuan seorang lelaki terbaring dan meninggal dunia di lorong belakang rumah mangsa. 

"Kami membawa mangsa untuk melihat mayat berkenaan dan mangsa mengecam lelaki itu serta mengatakan dia adalah suspek yang memasuki rumah, mengugutnya menggunakan pemutar skru dan bergelut dengannya," katanya. 


Shahurinain berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 32 tahun mendakwa rumahnya dipecah masuk oleh suspek yang juga berusia 32 tahun selepas lelaki itu mengumpil tingkap tandas bersebelahan dapur rumahnya. 

Suspek kemudian memecahkan pintu bilik utama di mana mangsa sedang berehat pada waktu itu dan mengugut mangsa menggunakan pemutar skru agar menyerahkan semua barang-barang berharga. 

Suspek kemudian menggeledah bilik kedua dan ketiga dan ketika itu mangsa hanya menuruti arahan suspek kerana bimbang dicederakan. 

"Suspek kemudian memaksa mangsa membuka pintu dapur untuk melarikan diri dan ketika itu mangsa berjaya mencapai sebilah pisau pemoitong sayur sepanjang 22 sentimeter sebelum mengarahkan suspek memulangkan semua barang-barang yang dirompaknya itu. 

"Suspek enggan berbuat demikian lalu berlaku pergelutan. Mangsa luka di bahagian kiri kepala akibat dipukul menggunakan pemutar skru yang ditemui di tempat kejadian, manakala suspek meninggal dunia dengan kesan luka di belakang kepala kiri dan kanan dipercayai akibat pisau pemotong sayur yang ditemui di tempat kejadian. 

"Selain itu, suspek juga luka di belakang tangan kiri dari siku ke bawah dan ke atas serta parah di belakang kepala. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat, manakala mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan," katanya. 


Siasatan juga mendapati, suspek yang berasal dari Kedah itu memiliki 14 rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas. 

Barang-barang yang dicuri oleh suspek iaitu dompet, wang tunai RM730, cincin emas dan telefon bimbit jenama Motorola juga dutur ditemui di poket kiri seluar suspek. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.