'Jangan sampai doa orang ramai yang menyampah dengan Dato ini didengar Allah dan akhirnya Dato yang terima padahnya' Ustaz tegur Aliff Syukri

Loading...

Setiap hari ada-ada saja gambar harta atau kemewahan yang ditayangkan kepada followersnya di media sosial. Sudah puas netizen menegur sama ada dengan cara baik atau sebaliknya, namun jutawan ini bagaikan enggan mengambil peduli. Malah menjadi semakin 'bermaharajalela' di media sosial. 

Apabila ditegur, katanya netizen didakwa tidak memahami yang tindakannya itu bersama. Entah berapa banyak kali netizen dipersalahkan sehingga ada yang mahu pencen menjadi netizen. 

Baru-baru ini seorang ustaz tampil memberi teguran atau nasihat kepada pengasas D'Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri. Bukan bertujuan mengaibkan, namun demi menyelamatkan usahawan itu dari dibinasakan olehNya kerana sifatnya yang terlalu menunjuk-nunjuk itu. 

NASIHAT KASIH KEPADA DATO' SERI ALIFF SYUKRI

Assalamualaikum Wrbkth. Kepada yang berbahagia Dato Seri, saya adalah salah seorang daripada saudara segama Dato Seri di bumi Malaysia. Alhamdulillah saya seorang yang amat mengkagumi cara Dato Seri di dalam menjana ekonomi dalam bidang perniagaan. Syukur sangat-sangat kerana Allah swt mengangkat Dato Seri dan perniagaan Dato Seri sehingga tersenarai sebagai usahawan muda yang berjaya. 

Saya bangga dan bersyukur di atas kejayaan Dato Seri. Cuma Dato Seri, saya mohon jasa baik Dato Seri. Jikalau hendak berkongsi kejayaan Dato Seri melalui 'live video', jagalah sempadannya.

Tidak salah untuk berkongsi kejayaan kita. Cuma cara itu kadang-kadang mengguris hati saudara seislam yang lain. Video Dato Seri sedang menggira duit yang difahamkan RM500,000 baru-baru ini, banyak mendapat tohmahan dan komen-komen negatif daripada netizen. 
Saya berharap sangat selepas ini Dato Seri boleh berkongsi perkara-perkara yang boleh membawa manfaat kepada ummah dan agama. Jikalau Dato Seri biasa mendengar nama dan gelaran seperti Qorun, Syadad dan Firaun, mereka ini adalah di antara orang kaya yang Allah binasakan. Saya memohon Allah jauhkan Dato Seri daripada musibah tersebut. 

Saya mohon maaf seandainya posting saya ini kurang adabnya. Hanya ini sahaja saluran yang saya ada untuk menyampaikan nasihat ini kepada Dato Seri. Sebab di antara kita tiada cara untuk berhubung. 

Nasihat ini pun dibuat selepas saya menunggu tokoh-tokoh agamawan yang lain dahulu memulakannya. Tetapi sayangnya, belum ada yang melakukannya. Akhirnya saya terpaksa juga mengalasnya. 

Demi Allah, nasihat ini bukan untuk mengaibkan sesiapa. Bukan nak menumpang populariti dan sebagainya. Tetapi nasihat ini saya buat kerana kasih dan sayang kepada Dato Seri, kerana saya takut doa orang ramai yang menyampah dan meluat dengan Dato Seri ini didengar oleh Allah dan akhirnya Dato Seri yang menerima padahnya. 

A post shared by Ohabangkosmetik (@aliffsyukriterlajaklaris) on




Saya juga tidak menafikan kebaikan yang telah banyak dilakukan oleh Dato Seri yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat. Tetapi satu amalan Dato Seri itu sahaja yang amat saya harapkan dapat diubah. 

Di antara sabdaan Nabi SAW, "Tidak akan masuk ke dalam syurga mereka yang ada sebesar zarah perasaan takabur." 

Saya hanya hendak melihat Dato Seri memiliki mahligai yang indah di dunia dan mahligai yang indah juga di dalam syurga. Mohon maaf andai posting ini menganggu emosi Dato Seri. 

Ikhlas dari saudaramu